Proton menikmati permulaan tahun terbaiknya sejak 2013 dengan menjual 12,882 unit (domestik dan eksport) pada bulan Januari. Ini membolehkan Proton menjadi satu-satunya jenama automotif yang mencatat prestasi jualan yang lebih baik berbanding bulan Disember 2023, iaitu peningkatan sebanyak 1.3%, manakala berbanding bulan Januari tahun lalu pula, jualan meningkat sebanyak 10.3%. Hasil daripada permulaan tahun yang kukuh, Proton mengekalkan tempat kedua dalam jadual jualan dengan selesa.
Pegangan pasaran syarikat bagi bulan Januari dianggarkan sebanyak 19.5%, iaitu 3.3% lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6% berbanding bulan Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan tahun 2023.
Penghantaran model terbaharu barisan Proton, Proton S70, telah bermula dengan 1,442 unit dihantar pada bulan Januari. Pada masa ini, model itu mempunyai lebih 8,000 tempahan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif yang diterima daripada pelanggan. Model S70 juga memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei, apabila 15 unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada bulan Februari.