Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan model eksklusif Golf GTI Edition 50 yang ditawarkan pada harga cadangan (RRP) RM267,990. Harga RRP itu termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP) yang memberikan pemilik dengan penyelenggaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama 5 tahun.
GTI Edition 50 dilancarkan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 Golf. Jentera itu dilengkapi pelbagai aksesori yang merangkumi kit badan Oettinger, rim baharu, perumah cermin sisi berwarna hitam, emblem ekslusif Edition 50 dan kemasan sisi sporty yang diinspirasikan daripada rekaan honeycomb signatur model GTI.
Penampilan bahagian luaran GTI Edition 50 disempurnakan lagi dengan tint “Edition 50 VW” dan emblem “50” pada tiang B yang menunjukkan ini merupakan sebuah model edisi khas.
Kit badan Oettinger terdiri daripada spoiler hadapan, spoiler belakang berwarna hitam dan peresap udara yang meningkatkan lagi gaya serta prestasinya. Selain memberi sentuhan berani terhadap gayaan luaran GTI Edition 50.
Ia dipasang dengan rim aloi ringan ‘Pretoria’ bersaiz 18” bersama kemasan hitam berkilat, penutup hub roda “GTI” Dynamic dan penutup injap aluminium VW Design.
Ruang dalaman GTI Edition 50 menyerlahkan elemen yang membezakannya dengan GTI standard. Antaranya termasuklah emblem “50” pada bahagian tengah stereng multi-fungsi GTI yang sporty, plat sisi aluminium “Edition 50” dan karpet hadapan “Edition 50”.
GTI Edition 50 didatangkan dalam dua warna iaitu Oryx White (putih) dan Moonstone Grey (kelabu).
Sama seperti GTI standard, Edition 50 menawarkan keterujaan dalam setiap pemanduan. Ini kerana ia dijana oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan klac basah 7-kelajuan berkuasa 245PS dan tork 370Nm.
Ciri-ciri lain yang perlu diketengahkan ialah sistem bunyi premium Harman Kardon berkuasa 480watt dengan 10 unit pembesar suara. Ia dipadankan dengan sistem infohibur Discovery Media bersaiz 10 inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta kluster instrumen digital berukuran 10.25 inci.
Aspek keselamatan disokong oleh teknologi IQ.DRIVE Volkswagen, di samping sistem bantuan pemandu termaju seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan Paparan Head-Up.
GTI telah menawarkan pengalaman pemanduan yang sporty sejak diperkenalkan buat pertama kali pada acara Frankfurt Motor Show 1975. Selepas hampir lima dekad dan lapan generasi kemudian, nama GTI terus mengekalkan posisinya selaku hatchback paling diminati di seluruh dunia.
GTI Edition 50 akan dipamerkan dalam acara Golf Fan Fest yang diadakan pada 24 Ogos 2024 bertempat di North Paddock Litar Antarabangsa Sepang. Ia juga boleh dilihat secara dekat di pengedar-pengedar Volkswagen bermula 17 Ogos 2024.