Piston.my

Berita Terkini

Bermaz Motor Trading Sdn Bhd, pengedar eksklusif kenderaan Mazda di Malaysia, telah memperkenalkan prototaip terkini yang dinamakan Mazda3 Konsep semasa Pameran Auto Bermaz yang sedang berlangsung. Dibangunkan oleh Bahagian MazdaSports syarikat, model konsep ini memberi penghormatan kepada Edisi MS Mazda3 yang diperkenalkan pada tahun 2016, sambil memperkenalkan pendekatan baharu terhadap reka bentuk, prestasi, dan pemperibadian.

Mengambil inspirasi daripada semangat pemanduan sporty yang sinonim dengan jenama Mazda, Mazda3 Konsep menampilkan falsafah “Jinba-Ittai” — kesatuan antara kenderaan dan pemandu — menerusi evolusi bahasa reka bentuk Kodo yang lebih agresif serta pelbagai penambahbaikan yang berorientasikan prestasi.

Dari segi reka bentuk luaran, Mazda3 Konsep tampil menonjol dengan penggunaan rim Enkei Tuning SC22 berwarna Matte Gunmetal yang bukan sahaja meningkatkan estetika kenderaan tetapi turut menyumbang kepada kestabilan pengendalian. Sistem brek turut dipertingkatkan menerusi penggunaan Endless Super Street S-Sports Brake Pads, yang menawarkan tahap kestabilan lebih tinggi, daya tahan terhadap kepanasan serta keselesaan untuk pemanduan harian.

(more…)

Syarikat automotif gergasi Stellantis kini berdepan dengan krisis berbilang dimensi selepas mencatatkan prestasi lemah sepanjang 2024, ditambah pula dengan peletakan jawatan mengejut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Carlos Tavares. Tahun yang sepatutnya menjadi titik tolak untuk pemulihan kini berubah menjadi tempoh ketidaktentuan, terutamanya selepas pengenalan semula tarif import tinggi oleh Amerika Syarikat di bawah dasar bekas Presiden Donald Trump.

Tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas semua kenderaan yang diimport ke pasaran A.S. telah memberi tamparan hebat kepada dua jenama premium Stellantis – Alfa Romeo dan Maserati – yang setakat ini masih belum memiliki sebarang fasiliti pengeluaran di Amerika Syarikat.

Penjualan Merosot, Tekanan Meningkat

Statistik semasa menunjukkan penurunan ketara dalam prestasi kedua-dua jenama tersebut. Alfa Romeo hanya berjaya menjual 8,865 unit di Amerika Syarikat pada tahun 2024, mencatatkan penurunan sebanyak 19 peratus berbanding tahun sebelumnya. Maserati pula menjual 11,300 unit secara global, dengan hanya 4,819 unit sampai ke tangan pelanggan di pasaran A.S.

(more…)

Proton mengakhiri suku pertama 2025 dengan pemulihan jualan yang ketara  pada bulan Mac dengan 13,918 unit terjual, peningkatan sebanyak 23.9% berbanding Februari dan 9.6% lebih  tinggi daripada bulan yang sama pada tahun 2024. Hasilnya, bahagian pasaran bagi jualan kumpulan (domestik, eksport, smart, Proton, e.MAS) dijangka 19.4% daripada anggaran Jumlah Volum Industri (TIV) sebanyak  71,596 unit.  

Keputusan yang kukuh ini telah melonjakkan jualan Proton pada suku pertama kepada 35,068 unit, yang  bersamaan dengan bahagian pasaran sebanyak 18.9% berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak  184,652 unit. Pencapaian ini didorong oleh prestasi jualan yang kukuh merentasi keseluruhan barisan model,  pertumbuhan dalam jualan eksport serta sumbangan daripada penawaran tenaga baru syarikat. Terutamanya, Proton e.MAS 7 telah menunjukkan prestasi yang baik dalam tiga bulan pertamanya dan merupakan kenderaan elektrik (EV) terlaris di Malaysia.  

Jumlah kesemua model ICE Proton mencatatkan peningkatan di semua kategori dengan dua model terus  mendahului jualan segmen pada bulan Mac. Proton S70 terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju  segmen sedan C dengan 2,125 unit terjual, peningkatan sebanyak 77.5% berbanding Februari. Ia menjadikan  jumlah jualan kumulatif tahun sehingga kini (YTD) kepada 4,465 unit.  

(more…)

Dalam satu langkah penting yang dijangka merubah landskap automotif negara, Berjaya Assembly Sdn Bhd — anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Sdn Bhd — telah menandatangani perjanjian strategik bersama Jetour Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Jetour Auto. Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun, dan Naib Presiden Jetour Auto, Encik Ke Chuandeng.

Perkongsian ini akan memberi tumpuan kepada projek pemasangan tempatan model Jetour secara Completely Knocked Down (CKD), di samping membawa masuk rangkaian kenderaan generasi baharu Jetour ke pasaran Malaysia. Inisiatif ini juga akan meletakkan Malaysia sebagai pusat strategik untuk pengembangan Jetour di rantau Asia Tenggara.

Peneraju dalam Transformasi Industri 4.0

Kerjasama ini turut menekankan komitmen kedua-dua pihak terhadap prinsip Industri 4.0, termasuk integrasi teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan automasi robotik dalam proses pengilangan. Usaha ini bukan sahaja akan mengoptimumkan kecekapan operasi dan produktiviti, tetapi turut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam pembuatan automotif pintar dan mampan.

(more…)

Jetour Malaysia memperkenalkan model Baharu, Dashing, sekali gus menembusi pasaran SUV di majlis pelancaran di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) baru-baru ini. SUV pertama jenama ini menggabungkan reka bentuk yang canggih dan penampilan yang menarik, sekali gus menetapkan Jetour sebagai pesaing baharu dalam sektor automotif Malaysia yang kompetitif.  

Encik Ke Chuandeng, Naib Presiden Jetour Auto, menekankan kepentingan kenderaan moden yang dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi canggih sebagai langkah proaktif dalam memajukan landskap automotif tempatan.

“Pelancaran Dashing bukan sekadar menandakan  kemasukkan Jetour ke dalam pasaran SUV Malaysia, ia turut mentakrif semula jangkaan pengguna dalam pasaran yang kompetitf ini,” kata Encik Ke.

“Pemandu di Malaysia telah lama mencari kenderaan yang menawarkan nilai luar biasa tanpa menjejaskan kualiti, teknologi, atau reka bentuk dan Dashing jelas memenuhi keperluan pasaran tersebut. Kami telah mencipta sebuah SUV premium yang memenuhi kehendak dalam pasaran hari ini dengan memberikan apa yang paling penting kepada pengguna Malaysia yang bijak memilih.”

Dashing, dengan kapasiti 5 tempat duduk, menampilkan reka bentuk 3D coupe fastback yang menarik perhatian, dengan ukuran panjang 4,590mm, lebar 1,900mm, dan tinggi 1,685mm – pilihan yang terbaik dalam segmennya. Reka bentuknya yang dinamik menghasilkan lengkungan elegan seperti yang dinampakkan pada sport saloon, sambil mengekalkan keserbagunaan kenderaan SUV.

Elemen yang istimewa termasuk pemegang sensor pintar tersembunyi yang akan dipanjangkan secara automatik apabila kunci pintar menghampirinya, mengurangkan bunyi angin dan rintangan sambil menambahkan keanggunan teknologi. Lampu utama LED matriks terpisah menyediakan pencahayaan yang akan diaktifkan secara automatik 100-meter sebelum sampai ke pintu masuk terowong dengan empat tahap ketinggian boleh laras dan fungsi ‘follow-me-home’. Lampu nyalaan siang menampilkan reka bentuk unik ‘Mecha-Eyes’, sementara lampu belakang menggabungkan reka bentuk bendera perlumbaan untuk meningkatkan karakter sporty kenderaan tersebut. 

Dashing dipasang dengan hub roda 19 inci yang termaju untuk meningkatkan cengkaman dan kestabilan yang membolehkan pengendalian mantap di pelbagai jenis permukaan. Sunroof panoramik 75 inci yang luas mencipta pengalaman kabin yang terbuka dan lapang di mana ia dapat menghubungkan penumpang dengan dunia di sekeliling mereka sambil mengekalkan privasi dan keselesaan.

Untuk interior kenderaan, Dashing menawarkan dua kombinasi warna dalaman iaitu off-white atau hitam dan merah yang minimalis. Reka bentuk kabin tanpa bonggol di bahagian tengah kerusi belakang berfungsi meningkatkan keselesaan bagi semua penumpang. Ruang but dapat menampung barang dalam kuantiti yang banyak, sesuai untuk peralatan pengembaraan seperti khemah dan peralatan BBQ.

Jetour telah melengkapkan Dashing dengan teknologi arahan suara pintar yang membolehkan kawalan intuitif untuk tingkap, penyaman udara, navigasi, dan muzik mengikut kedudukan dalam kenderaan. Ciri-ciri keselesaan tambahan termasuk sistem penapisan udara tahap CN95 yang memastikan kualiti udara kabin yang bersih, pencahayaan ambien yang boleh disesuaikan pada tahap trim yang lebih tinggi, serta saluran udara belakang yang diletakkan secara strategik untuk kawalan suhu yang konsisten di seluruh kabin.

Pintu belakang (tailgate) elektrik menawarkan pelarasan ketinggian yang boleh diprogram melalui skrin pusat untuk disesuaikan mengikut keperluan pemandu. Ia juga dilengkapkan dengan perlindungan anti cubitan untuk keselamatan tambahan. Ciri ketersambungan merangkumi pengecasan peranti tanpa wayar dan integrasi lancar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Pakej keselamatan menyeluruh seperti pengesanan titik buta menggunakan radar gelombang milimeter yang diaktifkan pada kelajuan melebihi 15 km/j, amaran pertukaran lorong yang memberikan isyarat visual dan bunyi apabila terdapat risiko perlanggaran, amaran lintasan trafik belakang untuk meningkatkan keselamatan semasa mengundur, serta amaran pintu terbuka yang memberi peringatan kepada penumpang mengenai kenderaan yang menghampiri ketika keluar dari SUV.

Dashing dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter yang canggih, menghasilkan 156ps (115kw) kuasa kuda dan 230Nm tork, untuk pecutan responsif serta prestasi yang meyakinkan di lebuh raya.  

Jetour Dashing akan disediakan dalam dua varian, bermula dari RM109,800 untuk varian Comfort dan RM116,800 untuk varian Prime – menjadikannya kenderaan yang menawarkan nilai yang terbaik dalam segmennya.

Package standard akan merangkumi perkhidmatan percuma lima kali, perlindungan waranti kenderaan tujuh tahun/150,000km dan perlindungan waranti enjin 10 tahun/1,000,000km. Selain itu, 500 pelanggan pertama mendapat rebat tunai RM2,000.

Dashing akan ditawarkan dalam lima warna luaran yang elegan iaitu Carbon Black, Khaki White, Aurora Green, Phantom Grey, dan Hematite Red, dengan dua pilihan dalaman dwi-tona dalam gabungan warna terang dan gelap dengan sentuhan jahitan serta lining merah yang menambah elemen sofistikasi.

“Pelancaran ini sejajar dengan strategi Travel+ kami yang bertujuan mencipta pengalaman pengembaraan luar biasa menerusi penyelesaian mobiliti inovatif,” ujar Encik Ke.

“2025 menandakan ulang tahun ke-7 Jetour – satu pencapaian penting dalam usaha peluasan global kami, di mana kami kini beroperasi di 65 negara dengan lebih daripada 2,000 rangkaian jualan dan servis serta jumlah jualan global melebihi 1.6 juta unit. Malaysia ialah pasaran utama dengan potensi pertumbuhan besar dalam strategi pembangunan global kami. Jetour komited untuk menjadi peneraju global dalam segmen SUV dengan menggabungkan teknologi terkini dan reka bentuk yang selari dengan pelbagai budaya serta gaya hidup di seluruh dunia.”

Bagi menyokong pelancaran Dashing, Jetour telah melaksanakan pengembangan rangkaian yang agresif, dengan menubuhkan lebih daripada 30 pusat jualan dan servis di seluruh Malaysia dan lebih daripada 10 pusat 4S dan 3S yang dijadualkan untuk dibuka pada tahun 2025. Pembangunan pesat ini bertujuan mewujudkan akses tanpa tandingan kepada kemudahan jualan dan servis Jetour selain mengukuhkan lagi kehadiran Jetour di lokasi strategik di Semenanjung dan Malaysia Timur, termasuk Selangor, Pulau Pinang, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor, Sabah, dan Sarawak. Sementara itu, syarikat ini juga menjamin sokongan selepas jualan yang cekap dengan memastikan stok alat ganti yang mencukupi di seluruh negara – usaha yang mencerminkan komitmen jangka panjang mereka terhadap pasaran tempatan.

Selain itu, kemuncak acara tersebuat ialah , Encik Ke Chuandeng dan Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun, Pengasas Kumpulan Berjaya dan Penasihat Utama Pemegang Saham Kumpulan Berjaya Asset Bhd. dan Jetour Malaysia Sdn Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman, menandakan kerjasama penting dalam projek Completely Knocked Down (CKD). Kerjasama ini menandakan peristiwa penting bagi pelancaran kenderaan Jetour dalam pasaran Malaysia. Kerjasama ini juga, merangkumi prinsip Pembuatan Pintar yang selaras dengan INDUSTRI 4.0 iaitu menyepadukan teknologi digital seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet pelbagai benda (IoT) dan robotik ke dalam proses pembuatan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan fleksibiliti. Melalui kerjasama strategik ini, Jetour komited untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia dan meningkatkan usaha penyetempatan serta mengukuhkan lagi kedudukannya dalam landskap automotif Malaysia.

Jetour Dashing akan tersedia di semua bilik pameran Jetour yang sah di seluruh negara bermula April 2025.

  

Bermaz Motor, pengedar eksklusif kenderaan Mazda di Malaysia, memperkenalkan Mazda MX-5 Edisi Ulang Tahun Ke-35, satu penghormatan istimewa kepada tiga dekad setengah legasi pemanduan menyeronokkan, reka bentuk abadi, dan semangat Jinba-Ittai – falsafah Mazda yang menekankan keharmonian sempurna antara pemandu dan jentera.

Sejak penampilan sulungnya pada tahun 1989, Mazda MX-5 telah menjadi simbol keseronokan memandu dengan pendekatan ringan dan berfokuskan pemandu, berkembang merentasi empat generasi daripada model ikonik NA hingga siri ND masa kini. Kini, untuk meraikan ulang tahun ke-35, edisi khas ini dilancarkan dalam jumlah terhad, direka khas untuk pengumpul dan pencinta roadster tulen.

Bahasa reka bentuk Kodo: Soul of Motion dipersembahkan dalam warna eksklusif Artisan Red Premium, hasil teknologi lukisan Takuminuri yang menampilkan lapisan merah dalam berseri dan elegan. Ciri unik edisi ini termasuk lencana “35th Anniversary” pada spatbor belakang, rim aloi 17 inci Bright Metallic, serta cermin sisi sewarna badan.

Di bahagian dalaman, kulit Sports Tan meliputi tempat duduk dan papan pemuka, dengan logo ulang tahun disulam atau ditimbul pada karpet dan tikar lantai. Aksen Artisan Red pada bolong penghawa dingin dan panel pintu menambah kesatuan visual dan keanggunan kabin.

(more…)

Archive

Follow us on Facebook

Follow us on YouTube