Stellantis, pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia dan perintis penyediaan mobiliti telah mengumumkan penubuhan Hub Alat Ganti Serantau di Malaysia. Hub itu merupakan satu komponen penting dalam strategi Stellantis untuk mempergiatkan usaha lokalisasi serta mengukuhkan kehadirannya dalam jangka masa panjang di rantau India dan Asia Pasifik, termasuklah Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Stellantis ASEAN, Daniel Gonzalez berkata, “Rantau India dan Asia Pasifik merupakan enjin pertumbuhan ketiga bagi Stellantis. Hub Alat Ganti Serantau ini bakal menjadi satu aset penting dalam strategi rantaian bekalan serantau kami.
“Pelaburan ini membuktikan komitmen jangka panjang Stellantis dalam mengukuhkan pertumbuhan dan kehadiran kami bukan sahaja di rantau ini, malah menyumbang kepada memperkasakan kedudukan Malaysia sebagai satu hub automotif serantau. Kami akan terus berada di sini dan komited untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, di samping memberi perkhidmatan dan operasi yang cekap melalui hub baharu ini. Ia akan memberi khidmat kepada pasaran Malaysia dan rantau ini.”