Rakyat Malaysia bakal melihat Proton e.MAS 7 beraksi buat kali pertamanya sebagai model sulung EV daripada pengeluar kereta nasional Proton. e.MAS 7 akan memulakan perjalanannya merentasi semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak dengan jarak melebihi 2,000 km. Pengembaraan epik ini akan meliputi semua negeri di Malaysia bermula pada 5 Oktober dan ia bukan sahaja mempamerkan kehebatan EV tersebut tetapi juga Semangat Malaysia dalam kecemerlangan kejuruteraannya.
Proton e.MAS 7 kini berada di dalam fasa akhir ujian dimana unit percubaan ini terus diuji dengan teliti bagi menyesuaikannya dengan keperluan pengguna Malaysia. Jelajah e.MAS 7 dibina atas kejayaan “Long Test Drive” Geely E5 dari China ke Malaysia bagi membuktikan ketahanan dan kebolehpercayaan teknologi tersebut walaupun menghadapi cuaca buruk. Seterusnya, e.MAS 7 akan merentasi jalan raya di Malaysia sambil menikmati kepelbagaian makanan tempatan yang terkenal, bermula dari Negeri Sembilan dan berakhir di Sarawak pada 29 November.
Fasa pertama Jelajah e.MAS 7 membawa kenderaan EV ini menuju ke arah selatan melalui Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor. Jelajah ini disertai dengan persinggahan di stesen pengecasan dan tempat makan popular di mana orang ramai berpeluang melihat dan berinteraksi dengan e.MAS 7.