Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Golf GTI yang telah dinaik taraf, lengkap dengan sistem audio Harman Kardon dan ciri paparan Head-up Display. Dengan peningkatan baru ini, Golf GTI kini ditawarkan pada harga RM252,990.
Sistem audio premium Harman Kardon 480-watt meningkatkan lagi ambien dalaman GTI dengan 10 unit pembesar suara. Ia mampu memberikan pengalaman bunyi keliling yang mengasyikkan dan akustik
mengagumkan. Menggabungkan aspek keselamatan dan kepekaan yang pintar, paparan head-up display memaparkan pelbagai maklumat penting pada ruang pandangan pemandu pada cermin utama. Maklumat-maklumat penting seperti kelajuan, navigasi dan sistem amaran memastikan pemandu sentiasa peka dan melihat informasi tersebut tanpa perlu mengalihkan mata mereka daripada jalan raya di hadapan.
Golf GTI ialah sebuah ikon yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Ia merupakan sebuah hot hatch yang menawarkan prestasi penuh kuasa dan meningkatkan pengalaman pemanduan. Jentera itu dijana oleh enjin 2.0TSI turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm yang dipadankan bersama kotak gear 7 kelajuan klac basah DSG. Hot hatch itu amat mudah dikenali dengan adanya gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan GTI berwarna merah yang menjadi signatur rekaannya. Penampilan itu dilengkapkan dengan rim aloi Richmond bersaiz 18” yang sporty, angkup brek berwarna merah, serta lampu utama dan belakang LED sepenuhnya.