BMW Malaysia hari ini memperkenalkan versi terkini BMW i5 eDrive40 M Sport yang sangat dikagumi. Sedan elektrik penuh yang melambangkan mobiliti masa hadapan ini telah membuat kemunculan yang menggegarkan pasaran Malaysia pada akhir 2023, dan kini hadir dengan keupayaan pengecasan yang lebih canggih serta fungsi yang diperkemaskan, sejajar dengan kedinamikan BMW 5 Series yang tiada tandingannya.
Versi terbaharu BMW i5 eDrive40 M Sport ini diangkat sebagai ikon dalam reka bentuk dan inovasi sedan moden, dengan ciri teknologi yang diperkasakan, mengukuhkan standard untuk mobiliti elektrik dalam pasaran tempatan. Masih mengekalkan penampilan elegan dan prestasi dinamik sebagai sedan paling ikonik di dunia, BMW i5 eDrive40 M Sport kini menawarkan kecekapan pengecasan yang dipertingkatkan, dan ringkasan rekaan yang melambangkan gabungan harmoni gaya sofistikated dan sporty.
BMW i5 eDrive40 M Sport kini dilengkapi dengan Pengecas Profesional AC (Arus Ulang Alik) sebagai standard, membawakan peningkatan luar biasa terhadap kecekapan pengecasan kenderaan yang sesuai dengan sedan eksklusif. Ciri baharu ini membolehkan masa pengecasan dikurangkan dengan ketara, sama ada di rumah atau di stesen pengecas AC awam, dengan keupayaan pengecasan baharu 22 kW. Penambahbaikan ini memberikan pengalaman pengecasan yang lebih efisien dan mudah, apabila pengecasan dari 0 hingga 100 peratus kini boleh dicapai dalam tempoh kurang dari 4 jam 15 minit. Sebaliknya, pengecas AC 11kW pula hanya mampu mengecas EV dari 0 hingga 100 peratus dalam tempoh 8 jam 15 minit. Tambahan lagi, BMW i5 eDrive40 M Sport akan terus dilengkapi dengan pengecas DC berkuasa tinggi hingga 205 kW, mempercepatkan pengecasan dari 0 hingga 80 peratus dalam tempoh 34 minit sahaja.