UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) memperkenalkan inisiatif Beyond Zero, yang selaras dengan matlamat global Toyota ke arah Neutraliti Karbon menjelang 2050. Acara itu, yang bermula pada hari ini hingga 28 Februari di Taman Teknologi Malaysia, mempersembahkan inisiatif transformasi yang mempamerkan komitmen jenama itu terhadap amalan mampan dan mesra alam.
Acara itu turut merangkumi ikrar UMWT untuk menerajui usaha ke arah mewujudkan masa depan yang mampan dan saling berhubung. Wawasan ini melangkaui konsep automotif konvensional, membayangkan sebuah masyarakat di mana setiap individu mengejar kebahagiaan dengan membuat pilihan yang selari dengan nilai dan gaya hidup mereka. Inilah yang dinamakan sebagai pendekatan berbilang laluan ke arah Neutraliti Karbon.
Acara itu menekankan komitmen UMWT untuk menyelaraskan amalannya dengan usaha negara dan global yang lebih meluas bagi menangani perubahan iklim dan memupuk pembangunan mampan. Bagi mempamerkan komitmen Toyota yang tidak berbelah bahagi terhadap pendekatan berbilang laluan ke arah neutraliti karbon, syarikat itu menawarkan pelbagai penyelesaian elektrifikasi bagi memenuhi keperluan unik pelanggan dan rantau ini, memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan ke arah mencapai pelepasan Karbon Dioksida Sifar.