Proton hari ini dengan rasminya mengumumkan nama model pertama untuk Proton e.MAS, jenama kenderaan elektrik baharunya. EV pertama Malaysia akan dikenali sebagai Proton e.MAS 7, menandakan permulaan babak baru dalam sejarah automotif negara.
SUV segmen-C, e.MAS 7 menekankan komitmen Proton di dalam Agenda Kenderaan Elektrik Kerajaan Malaysia yang menyeru pembuat kereta nasional untuk memperkenalkan kenderaan elektrik menjelang tahun 2025. Walaupun pelancaran penuh akan berlaku pada akhir tahun ini, pengesahan nama dan pratonton model baru ini menunjukkan pendekatan proaktif Proton dalam memimpin industri automotif negara ke arah masa depan yang lebih lestari.
Sejak pengumuman jenama e.MAS dan pengenalan 18 buah pengedar pada bulan Jun yang lalu, PRO-NET kini telah mengembangkan rangkaiannya kepada jumlah keseluruhan 29 buah pengedar di seluruh Malaysia. PRO-NET, anak syarikat Proton, menyasarkan untuk mempunyai 25 bilik pameran Proton e.MAS yang akan beroperasi sebelum pelancaran sulung Proton e.MAS 7.
Memperkenalkan Proton e.MAS7 SUV Serba Elektrik
Dibangunkan bersama Geely, Proton e.MAS 7 adalah SUV segmen-C yang direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup moden dengan menawarkan ruang dan utiliti yang luas. Proton e.MAS 7 adalah model EV pertama Proton yang menampilkan platform Global Modular Architecture (GMA) yang canggih, memastikan prestasi kenderaan yang unggul, pengendalian yang terbaik, dan keselesaan yang mencukupi. Dengan dimensi sepanjang 4,615 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm, dan jarak roda 2,750 mm, e.MAS 7 menawarkan ruang dalaman yang cukup luas dengan reka bentuk luaran kontemporari.
Usaha kolaboratif bersama antara Proton dengan Geely dalam pembangunan model ini, ia juga merangkumi beberapa aspek penting seperti strategi produk, kejuruteraan, reka bentuk, kawalan kualiti pengeluaran, dan pembangunan ekosistem tempatan. Lebih daripada seratus jurutera Proton telah memberikan sumbangan secara langsung kepada projek ini, memastikan ia memenuhi keperluan rakyat Malaysia serta pengguna dari negara lain.
Kenderaan serba elektrik ini menampilkan sistem pemacu elektrik terkini 12-dalam-1 yang canggih, menetapkan piawaian baru dalam kelasnya tersendiri dengan menggabungkan pelbagai fungsi ke dalam satu unit yang sangat efisien. Selain itu, Proton e.MAS 7 juga dilengkapi dengan seni bina bateri Cell-To-Body yang inovatif. Ia dapat memperkuatkan kekuatan struktur bateri, menambah keluasan ruang dalaman, meningkatkan kestabilan dalam kawalan selekoh dengan kelajuan tinggi, serta keseluruhan pengendaliannya.
Proton e.MAS 7 juga dilengkapi dengan sistem audio Flyme Auto yang diintegrasikan dengan sistem IHU tempatan. Penyedia Sistem Telematik dapat menyokong pelbagai fungsi canggih, membawakan teknologi pintar terus kepada pengguna. Dengan inovasi ini, Proton e.MAS 7 muncul sebagai peneraju dalam segmen EV, menetapkan standard baru untuk teknologi dan pengalaman pemanduan.
Proton e.MAS7 hadir dengan beberapa ciri prestasi utama:
- Motor Elektrik: Menjana 218PS dengan tork 320Nm, membolehkan masa 0-100km/j dalam 6.9 saat dan kelajuan tertinggi 180km/j.
- Pilihan Bateri: Dua pilihan bateri tersedia:
- Bateri 49.52 kWj: Julat sehingga 440km CLTC.
- Bateri 60.22 kWj: Julat sehingga 530km CLTC (kira-kira 420km WLTP).
Ujian Jalan Raya yang Menyeluruh untuk Kesediaan Produk
Proton telah melabur didalam pembangunan casis Proton e.MAS 7 untuk memastikan dinamik pemanduan yang luar biasa sesuai untuk jalan raya di Malaysia. Proton e.MAS 7 telah menjalani ujian yang ketat, dengan 700,000 waktu kerja dan 10 juta kilometer ujian dilakukan untuk mengesahkan ketahanan dan kebolehpercayaannya. Ujian menyeluruh ini memastikan bahawa kenderaan ini bersedia di jalan raya dan selamat.
Dilengkapi dengan sistem yang sentiasa aktif, Proton e.MAS 7 mendapat manfaat daripada ujian dan kemas kini yang berterusan, termasuk penambahbaikan berkala pada sistem navigasi serta peningkatan perkhidmatan DHU dan TSP. Pasukan PRO-NET juga telah membangunkan penyedia sistem telematik tempatan untuk menyokong kawalan kenderaan, navigasi, dan superApp Proton e.MAS. Ini dapat menyediakan pengalaman yang lancar dan disesuaikan untuk pelanggan Malaysia.