Aston Martin secara rasmi telah mendedahkan imej supercar hibrid Valhalla di atas jalan, ketika ia menghampiri fasa akhir pengesahan menjelang pelancaran pengeluaran pada suku kedua tahun 2025. Model ini kini menjalani ujian ketat di jalan raya di United Kingdom serta di litar ujian berdekatan Barcelona, Sepanyol, bagi memastikan prestasi luar biasa dalam keadaan pemanduan sebenar.
Valhalla telah diperlihatkan dalam dua warna eksklusif – Podium Green dengan aksen Hijau Lime serta Verdant Jade dengan kemasan Valkyrie Gold – semasa sesi ujian di pusat ujian IDIADA di Sepanyol. Jurutera Aston Martin, bersama pemenang tiga kali kelas Le Mans, Darren Turner, kini menjalankan penentukuran akhir ke atas aspek ketepatan stereng, aerodinamik aktif serta prestasi sistem brek terma. Selain ujian di litar, satu lagi unit Valhalla dalam warna Satin Scintilla Silver dengan aksen Lime Green turut diuji di jalan raya UK bagi memperhalusi sistem peredam untuk meningkatkan kualiti tunggangan dan pengendalian.
Pengarah Prestasi dan Atribut Kenderaan Aston Martin, Simon Newton, menegaskan bahawa Valhalla bakal menetapkan standard baharu dalam dinamik pemanduan, dengan rangkaian kuasa hibridnya yang berupaya menghasilkan 1,079PS serta tork maksimum 1,100Nm. Supercar ini dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter turbo berkembar dengan engkol satah rata – enjin V8 paling berkuasa dalam sejarah Aston Martin – yang digandingkan dengan tiga motor elektrik bagi menawarkan keupayaan pemanduan hibrid plug-in serta mod pemanduan elektrik sepenuhnya.