UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dan menakrif semula landskap segmen kenderaan berprestasi tinggi dengan memperkenalkan tiga model paling dinanti-nantikan seluruh peminat kereta di Malaysia. Pelancaran model 2025 GR Yaris, GR Corolla, dan Corolla GR Sport, bersempena majlis penutup Toyota Gazoo Racing Musim Ke-7, bukan sahaja menjadi simbol inovasi, tetapi juga penanda aras baharu dalam komitmen Toyota dalam memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan buat rakyat Malaysia. Berpegang kepada legasi cemerlang Toyota Gazoo Racing dalam sukan permotoran serta kejuruteraan termaju yang telah terbukti, pengenalan model-model ini menjadi pemangkin keterujaan dan inspirasi dalam kalangan peminat automotif tempatan sejak penampilan di peringkat global pada 2007.
Ketiga-tiga model ini mempersembahkan prestasi unggul dan kejuruteraan terperinci Toyota Gazoo Racing, membawa semangat litar lumba terus ke jalan raya dan membolehkan pemandu merasai adrenalin serta kehebatan teknologi litar perlumbaan. Di sisi lain, Corolla GR Sport tampil dengan gaya sporty yang berani sambil mengekalkan aspek praktikaliti harian, menyerlahkan lagi keupayaan Toyota dalam menyatukan elemen estetika, prestasi, dan fungsi dengan sempurna untuk menawarkan pengalaman luar biasa kepada generasi pemandu moden. Melalui gabungan inovasi dan kepakaran ini, Toyota memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi berprestasi tinggi, tambahan kepada pendekatan Multi-Pathway bagi memastikan semua mendapat manfaat terbaik.
GR Yaris 2025: Sentuhan Kejuruteraan Perlumbaan ke Jalan Raya

GR Yaris 2025 adalah bukti cemerlang kejuruteraan Toyota Gazoo Racing, sebuah kereta kompak yang menggabungkan prestasi litar rali dengan praktikaliti di jalan raya. Dipacu enjin pengecas turbo G16E-GTS 1.6-liter yang ikonik, nadi utama jentera ini mampu menghasilkan 300PS dan 400Nm tork, menjadikan setiap pemanduan penuh adrenalin. Dipadankan transmisi manual 6-kelajuan tradisional dan digabungkan dengan sistem GR-Four AWD yang diinspirasikan oleh perlumbaan rali serta legasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), ia ternyata memberikan kawalan maksimum kepada pemandu.

Setiap elemen GR Yaris direka dengan fokus mutlak kepada prestasi. Teknologi penyejukan canggih, seperti sub-radiator dan sistem semburan intercooler, memastikan enjin beroperasi secara optimum walaupun di bawah tekanan yang ekstrem. Kehebatan teknologi perlumbaan diterjemahkan ke dalam output enjin yang lebih tinggi, disokong oleh sistem suspensi yang dipertingkatkan untuk kawalan yang mantap dan keupayaan membelok yang agresif. Bahagian hadapan yang direka semula dengan Functional MATRIX Ver.2 memaksimumkan aliran udara dan penyejukan, sambil meningkatkan aspek aerodinamik secara menyeluruh, manakala bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan sistem ekzos, diffuser, dan pencahayaan baharu, menonjolkan postur lebar dan rendah yang menawan.
(more…)