Honda Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV terunggulnya, CR-V (Comfortable Runabout Vehicle) Serba Baharu Generasi ke-6. Bakal mendefinisikan semula pasaran SUV, ‘The Ultimate SUV’ ini terserlah dengan enjin e:HEV 2.0L generasi baharu dan rekaan baharu yang memperlihatkan DNA Honda. Hadir dalam bentuk luaran yang elegan bersama ruang dalaman premium dan luas, keselesaan yang tidak ditandingi dan teknologi-teknologi canggih, CR-V Serba Baharu bakal menetapkan standard tersendiri.
Dengan pilihan dua enjin dan tersedia dalam empat varian, CR-V Serba Baharu menawarkan pilihan yang khusus untuk memenuhi kehendak dan keperluan pelbagai pelanggan. Enjin e:HEV 2.0L menjadi tonggak CR-V Serba Baharu varian RS, yang menghasilkan tork sehingga 335Nm, dan kuasa maksimum 184PS. Untuk julung kalinya bagi Honda Malaysia, model ini dipadankan dengan Transmisi Boleh Laras Berterusan Elektrik (e:CVT) dalam kerangka baharu, bagi menyediakan prestasi enjin cemerlang, penjimatan minyak dan kesesuaian kuasa tinggi.
Pelanggan yang mahukan sebuah SUV dengan dinamik pemanduan yang mengujakan boleh memilih varian S, E atau V, didatangkan dengan enjin berprestasi tinggi 1.5L VTEC Turbo yang mencapai kuasa maksimum 193PS dan tork maksimum 243Nm. Berfungsi bersama sistem CVT yang canggih, enjin ini menyediakan prestasi berkuasa sambil mengoptimumkan respon pecutan, penjimatan minyak dan kesenyapan. Varian V didatangkan secara eksklusif dengan Real Time AWD yang mana pembahagian kuasa antara pemanduan depan dan belakang ditambah baik untuk pemanduan yang lebih stabil.
Kelihatan menarik dari setiap sudut, gaya moden dan sofistikated CR-V Serba Baharu menterjemahkan rekaan Honda yang tersendiri. Bagi varian S, E, dan e:HEV RS, ianya lebih besar dan lebar berbanding generasi terdahulu, dengan panjang 4,691mm, lebar 1,866mm, tinggi 1,681mm dan jarak roda 2,701mm. Menyegarkan lagi estetika SUV yang telah direka semula ini adalah Gril Depan dengan Corak Mesh tebal (Front Grille with a bold Mesh Pattern), Lampu LED di bahagian depan dan belakang (Full LED Headlights and Tail-Lights), Lampu Isyarat LED (Front LED Sequential Turn Signals), Kemasan Krom di belakang ekzos (Tailpipe Chrome Finisher), dan Lampu Belok Aktif (Active Cornering Lights).
Varian paling atas, e:HEV RS dilengkapi dengan Gril Penutup Aktif (Active Shutter Grille), ciri automatik pada Bampar Depan Bawah (Front Lower Bumper) yang menambah baik aerodinamik dan penjimatan minyak CR-V Serba Baharu. Selain itu, varian e:HEV RS membolehkan pemiliknya memandu dengan bergaya dengan Rim Aloi Berlina Hitam 18 inci yang meningkatkan rasa premium model ini.
Honda Malaysia membawa SUV terunggulnya ke tahap seterusnya dengan ruang kargo paling besar dalam CR-V, dan paling besar dalam segmen SUV. Kapasiti ruang but kini sebesar 589 liter dengan kerusi belakang didirikan, dan bertambah kepada 1,072 liter apabila kerusi dibaringkan. CR-V Serba Baharu ini mempunyai ketinggian muatan yang rendah, memudahkan pemilik memasukkan atau mengeluarkan barang. Lagi satu ciri mudah ialah Pintu But Berkuasa Bebas dengan fungsi Walkaway Close (Hands-Free Power Tailgate with Walkaway Close), yang membolehkan pemilik membuka bahagian but dengan hanya perlu menghalakan kaki di bahagian bampar belakang. Pintu but akan tertutup secara automatik apabila pemilik berlalu pergi.
Reka bentuk kemas dan horizontal bagi bahagian dalam CR-V Serba Baharu itu mempunyai gabungan gaya classy dan kontemporari, dan pada masa yang sama, menawarkan keselesaan dan kabin yang lebih lapang. Tempat duduk berkulit di dalam varian E dan ke atas juga menambah rasa premium dalam kabin. Melengkapkan semua itu, pemandu juga akan mendapat lebih keselesaan dengan Kerusi Pemandu Elektrik 8-hala (8-way Driver Power Seat) dengan memori dua posisi yang membolehkan mereka mencari posisi paling selesa dan menyimpan konfigurasi kegemaran mereka. Penumpang juga menikmati suasana yang lebih nyaman dalam SUV ini dengan ruang kaki yang 16mm lebih lebar berbanding sebelumnya.
Selain itu, CR-V Serba Baharu ini menawarkan keselesaan untuk penumpang belakang dengan kerusi yang boleh dilaras pada lapan sudut berbeza. Beberapa ciri-ciri inovatif dan praktikal diintegrasikan dengan berhemah untuk menambah baik pengalaman di dalam kabin CR-V Serba Baharu. Dalam varian E dan ke atas, terdapat port USB-C tambahan di depan, Paparan Audio 9-inci bersama Apple CarPlayTM dan Android AutoTM dan Pengecas Tanpa Wayar. Sebagai tambahan, varian V dan e:HEV RS menawarkan Lampu Kabin Ambient Berwarna.
Bagi pengalaman pemanduan yang lebih optimum, varian e:HEV RS dilengkapi ciri-ciri eksklusif, termasuk Meter TFT 10.2 inci. Ia juga hadir dengan Sistem Audio Premium 12- pembesar suara dari Bose menjadikan CR-V Serba Baharu model pertama dalam barisan kenderaan buatan tempatan Honda yang dilengkapi dengan ciri baharu ini. Ciri ini bakal membawa keterujaan pendengaran yang imersif untuk pemandu dan penumpang.
Ciri lain dalam varian e:HEV RS ialah paparan info Head Up Display (HUD) yang menunjukkan maklumat-maklumat pemanduan penting seperti kelajuan dan sistem bantuan pemandu (ADAS). Varian ini juga didatangkan dengan Kad Kunci Pintar untuk kemudahan tambahan.
CR-V Serba Baharu disasarkan untuk menjadi penanda aras prestasi keselamatan aktif dan pasif dalam SUV. Buat pertama kali untuk Honda Malaysia, model ini dilengkapi dengan lapan beg udara termasuk dua beg udara di bahagian lutut. Selain itu, Honda CONNECT juga hadir sebagai ciri standard untuk semua varian. Mengekalkan keunggulannya dalam menyediakan rangkaian komprehensif teknologi keselamatan, CR-V Serba Baharu didatangkan dengan sistem Honda SENSING yang dinaik taraf dengan Wide-Angle Radar, Kamera dan Sensor Sonar. Fungsi keselamatan dalam teknologi bantuan pemandu ini dipertingkatkan lagi dengan kemasukan Lampu memandu Adaptif (Adaptive Driving Beam), menjadikan jumlah keseluruhan fungsi keselamatan kepada sembilan. Ciri keselamatan penting lain dalam model termasuk Honda LaneWatch dan Sistem Kamera Pelbagai Sudut (Kamera 360).
Pelanggan boleh memilih CR-V Serba Baharu yang didatangkan dalam lima warna. Buat pertama kalinya, Honda Malaysia memperkenalkan Biru (Canyon River Blue), menyertai barisan warna Putih (Platinum White Pearl), Perak (Lunar Silver Metallic), Kelabu (Meteoroid Gray Metallic) dan Merah (Ignite Red Metallic).
Varian S berharga RM159,900.00, E pada RM169,900.00 dan V pada RM181,900.00. Varian e:HEV RS hanya akan tersedia pada awal 2024, dan Honda Malaysia akan mengumumkan harga yang lebih dekat dengan tempoh penghantaran.
Tahun ini, Honda meraikan ulang tahun ke-75 dan pada masa yang sama, Honda Malaysia meraikan 20 tahun CR-V sebagai model pengeluaran pertama dari kilang Melaka. Sempena meraikan pencapaian ini, CR-V Serba Baharu Varian S ditawarkan pada harga RM157,900 terhad kepada 750 unit untuk pelanggan yang terawal.