BMW Malaysia hari ini mengumumkan harga rasmi bagi BMW X5 xDrive50e M Sport, varian PHEV terbaharu kepada jentera Sports Activity Vehicle (SAV), dikenali sebagai “The Boss”. Hadir dalam varian M Sport, BMW X5 xDrive50e menyertai barisan kenderaan premium keluaran BMW Group yang dipasang di dalam negara untuk pasaran Malaysia.
Pertama kali disingkap oleh pengeluar kenderaan premium tersebut pada awal bulan ini, BMW X5 xDrive50e M Sport melihat banyak penambahbaikan dari segi prestasi dan keefisienan, dengan peningkatan kuasa serta jarak operasi elektrik, ia menggandingkan ciri atletik dengan keelegenan yang pasti mencuri perhatian semasa menyusuri jalan raya di Malaysia.
BMW X5 xDrive50e M Sport baharu menampilkan rangkaian kuasa PHEV yang diperkayakan, mampu membekalkan output gabungan berjumlah 489hp serta tork bernilai 700Nm. Kuasa gabungan daripada enjin petrol enam sebaris 3.0 liter serta motor elektriknya yang hebat membolehkan BMW X5 xDrive50e M Sport baharu membuat pecutan abad dalam masa 4.8 saat. Bukan itu sahaja, keupayaan elektrik PHEV ini turut melihat penambahbaikan, menawarkan jarak operasi elektrik sejauh 110km (WLTP) dan kapasiti pengecasan yang lebih baik pada 7.4 kW, membolehkannya dicas dari 0-100% hanya dalam tempoh 4.5 jam.