Sebuah syarikat tayar milik China yang beroperasi di Thailand sedang disiasat pihak berkuasa selepas didakwa terlibat dalam kegiatan menyeludup tayar berkualiti rendah dari China, menukar labelnya, dan menjualnya semula sebagai tayar baharu — termasuk yang dilabel sebagai “Buatan Thailand”.
Menurut sumber daripada Kementerian Perindustrian Thailand, syarikat terbabit telah diberikan kelulusan khas untuk mengeluarkan tayar di Thailand dengan menggunakan bahan mentah yang diimport dari China. Walau bagaimanapun, kilang tersebut dilaporkan hanya menggaji pekerja warga China, tanpa sebarang pengambilan pekerja tempatan.
Pihak berkuasa menerima maklumat bahawa tayar-tayar yang telah gagal ujian keselamatan di China telah dibawa masuk secara haram ke Thailand. Tayar-tayar ini kemudian dibuang jenama asal, dijenamakan semula, dan dijual semula di pasaran Thailand serta dieksport ke negara lain. Beberapa tayar turut dilabel secara palsu sebagai buatan tempatan, kononnya “Made in Thailand”.
Kebimbangan turut timbul dalam kalangan pegawai kerajaan bahawa penggunaan label palsu ini boleh menjejaskan reputasi Thailand sebagai pengeksport utama produk berasaskan getah yang berkualiti tinggi di peringkat antarabangsa.