Mitsubishi Motors Corporation mengesahkan penyertaannya dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025, dengan Pasukan Mitsubishi Ralliart bersedia menghadapi saingan sengit menggunakan trak pikap Triton yang telah diubah suai khusus untuk perlumbaan tersebut. Acara ini dijadualkan berlangsung pada Ogos ini, merentasi Thailand dan Kemboja, sekali gus meraikan ulang tahun ke-30 kejohanan dengan laluan lebih panjang serta cabaran yang lebih mencabar.
Triton Baharu Lebih Mantap dan Kompetitif
Mitsubishi Motors secara rasmi memperkenalkan Triton rali baharu dalam Pameran Motor Antarabangsa Bangkok ke-46. Jentera ini telah dibangunkan mengikut spesifikasi rali merentas desa kategori T1, dengan pelbagai peningkatan dari segi ketahanan enjin, penalaan casis serta penambahbaikan lain bagi meningkatkan daya tahan dan prestasi keseluruhannya. Pasukan Mitsubishi Ralliart berazam untuk merampas kembali gelaran AXCR, yang kali terakhir dimenangi pada tahun 2022.
Misi Penebusan Selepas Kekecewaan AXCR 2024
Pada edisi AXCR 2024, Mitsubishi Motors menyertai perlumbaan dengan empat unit Triton yang memperlihatkan peningkatan ketara dalam aspek pengendalian dan kelajuan. Pelumba Thailand, Chayapon Yotha, berjaya mendahului saingan keseluruhan pada Leg 4 dengan kelebihan masa 20 minit. Bagaimanapun, kegagalan enjin menyebabkan beliau terpaksa menarik diri, sekali gus meranapkan impian pasukan untuk menjuarai kejohanan.