Dalam era digital yang menyaksikan banyak pengeluar kenderaan beralih kepada sistem kawalan berasaskan skrin sentuh, Hyundai Motor Company mengambil pendekatan berbeza dengan mengekalkan penggunaan butang fizikal untuk fungsi utama dalam kenderaannya.
Langkah ini dibuat sebagai usaha untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya ketika pemanduan. Hyundai berpandangan bahawa pergantungan sepenuhnya kepada skrin sentuh boleh mendatangkan gangguan visual dan memberi kesan kepada tumpuan pemandu.
Menurut Simon Loasby, Ketua Reka Bentuk Hyundai, pihaknya komited untuk mengekalkan butang fizikal bagi fungsi yang sering digunakan seperti kawalan suhu, mod pemanduan dan sistem audio. Katanya, butang fizikal membolehkan pemandu menggunakan deria sentuhan dan memori otot tanpa perlu mengalihkan pandangan dari jalan raya.