Toyota Motor Europe (TME) telah mengumumkan pelancaran Toyota Circular Factory (TCF) yang pertama, sebuah kemudahan khusus bagi memproses kenderaan akhir hayat melalui konsep kitar semula, guna semula dan pembuatan semula. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam usaha Toyota ke arah kemampanan dan neutraliti karbon.
Kilang TCF sulung ini akan ditubuhkan di kilang Toyota Manufacturing UK yang terletak di Burnaston, Derbyshire, dengan operasi dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun ini. Kemudahan ini akan berfungsi sebagai pusat kecemerlangan untuk proses kitar semula pada masa hadapan di seluruh Eropah dan pasaran global lain.
PEMULIHAN SUMBER DAN KITAR SEMULA
Objektif utama TCF adalah untuk mengekstrak komponen yang boleh diguna semula daripada kenderaan yang tidak lagi beroperasi, mengilangkan semula bahagian-bahagian penting serta mengitar semula bahan mentah. Alat ganti yang masih dalam keadaan baik akan diperiksa dengan teliti sebelum diperkenalkan semula ke pasaran menerusi rangkaian runcit dan pengedaran Toyota.