Perodua kekal kukuh dengan jualan bagi suku pertama 2019 dengan peningkatan 9.5 peratus kepada 82,700 unit dari Januari hingga akhir April berbanding 75,500 unit yang didaftarkan tahun lalu.
Ini merupakan pencapaian terbaik bagi suku pertama dalam sejarah Perodua.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad meluahkan terima kasih ke atas pencapaian tersebut.
“Angka jualan dalaman kami menunjukkan sokongan padu yang berterusan terhadap produk kami. Kami, bersama-sama dengan ekosistem automotif negara, yang kebanyakannya terdiri daripada pembekal dan pengedar sah, amat berterima kasih atas pengiktirafan ini.
“Sementara Perodua menantikan angka rasmi jumlah keseluruhan industri (TIV) daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami percaya pegangan pasaran Perodua melebihi 43% bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekaligus memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi domestik secara keseluruhan.
“Malah, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua telah membelanjakan RM1.8 bilion untuk membeli komponen daripada pembekal automotif tempatan dan optimis dapat memenuhi komitmen kami untuk membeli RM5.4 bilion dalam komponen pada tahun ini,”jelasnya.
Dato’Zainal turut menegaskan Perodua akan terus berdaya saing untuk memenuhi komitmen membeli daripada pembekal komponen automotif domestik meskipun berdepan rintangan pasaran yang mencabar.
“Walaupun terlalu awal untuk menetapkan sasaran selepas 2019, kami yakin bahawa Perodua akan terus berkembang pada tahun 2020 dan seterusnya memberi manfaat kepada pembekal dan pengedar tempatan,”tambahnya.
Perodua mencatat jumlah pendaftaran yang tinggi pada bulan April dengan jualan lebih 7,700 Myvi, 5,900 Axia, 4,200 Bezza dan 1,100 Alza. Bagi model terbaru, Aruz, Perodua telah menerima pendaftaran lebih 3,200 unit bagi bulan April.
Jumlah jualan Perodua pada April 2019 melebihi 22,100 unit – peningkatan 11 peratus berbanding 19,939 unit pada tahun sebelumnya.
“Sejak Aruz dibuka untuk tempahan pada 3hb Januari lalu, hampir 20,000 tempahan telah diterima, iaitu dengan purata 170 tempahan setiap hari. Dan setakat hari ini, lebih daripada 9,800 Aruz telah diserahkan sejak pendaftaran bermula pada 31hb Januari – purata lebih daripada 100 unit setiap hari – menjadikan ia antara SUV paling laris di negara ini.
“Myvi kekal menjadi model terlaris kami – sejak pelancarannya pada November 2017, kami telah menyerahkan lebih daripada 115,000 unit kepada pelanggan kami, yang menggemari rekabentuk yang bergaya, kualiti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta ciri-ciri canggih yang diperolehi untuk harga tersebut,” ujar Dato’Zainal.
Nampak gaya sukar untuk menggugat populariti Perodua di kalangan rakyat Malaysia lagi-lagi penjualan model kereta serba boleh, Myvi!