Pengunjung pameran Auto Shanghai 2025 berpeluang melihat model terbaharu Jaecoo, iaitu J5 EV, versi elektrik sepenuhnya bagi SUV kompak yang sebelum ini dikenali dengan enjin petrol konvensional. Kenderaan ini bakal bersaing dalam segmen kompetitif yang didominasi oleh Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, dan Proton X50.
Berbanding versi petrol, Jaecoo J5 EV memiliki beberapa perubahan ketara pada bahagian hadapan. Jeriji “air terjun” digantikan dengan jalur lutsinar yang menyambungkan lampu LED serta logo “JAECOO” yang menonjol. Bahagian bawah bampar pula dilengkapi panel berlubang dan salur udara berbentuk segi empat, memberikan penampilan lebih futuristik dan aerodinamik.
Di bahagian sisi, J5 EV mengekalkan kesan bumbung terapung dengan tiang D berwarna hitam, tetapi tidak mempunyai tiang A gelap seperti model J7 yang lebih besar. Pemegang pintu masih konvensional, manakala lampu belakang meneruskan tema lampu jalur lebar penuh bersama spoiler dan peresap plastik.