Proton, mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 17.1% berbanding bulan yang sama pada tahun 2023, dengan 11,025 unit (domestik dan eksport) terjual berbanding 9,415 unit pada April tahun lalu. Jualan bagi empat bulan pertama tahun 2024 juga meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023. Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia pula juga meningkat kepada anggaran 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.
Pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 18.7% pada bulan April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2%, mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotive negara. Jualan eksport khususnya, memainkan peranan penting dalam prestasi syarikat, melonjak sebanyak 38.5% dari 603 unit kepada 835 unit sejak awal tahun hingga bulan April.
Proton X50, SUV kegemaran Malaysia selama tiga tahun yang lepas, mendahului semula jualan SUV segmen-B walaupun menghadapi persaingan yang semakin sengit, ia mencapai jualan 1,642 unit pada bulan April. Sementara itu, Proton S70 telah mendahului jualan sedan segmen-C sejak awal tahun dan berterusan dengan 1,635 unit terjual pada bulan April. Bagi tahun 2024, ia telah mencapai jualan kumulatif sebanyak 7,463 unit.
Para pembeli di Malaysia menunjukkan minat yang besar terhadap model sedan terkini ini yang menampilkan reka bentuk yang menepati cita rasa generasi muda, ketersambungan, keselesaan dalaman, dan enjin turbo. Ia juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang komprehensif yang memberi keutamaan kepada kebajikan pemandu dan penumpang, terbukti dengan penarafan ASEAN NCAP 5 bintangnya.
Model terlaris Proton, Proton Saga, mencatatkan 5,031 unit pada bulan April dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8% kepada 23,278 unit, mengekalkannya sebagai pilihan utama bagi pembeli kereta dengan gabungan ciri, kemudahan pemanduan, dan nilai. Bagi model Proton yang lain, jualan untuk Proton X70 mencapai 552 unit, manakala sedan segmen-B Proton Persona, dan SUV perdana syarikat, Proton X90, mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit masing-masing. Proton Iriz, kenderaan hatchback segmen B, menambah 424 unit kepada jumlah jualan April, membawa jumlah jualan awal tahun sehingga kini kepada 1,958 unit.
Sejak awal tahun, jualan eksport Proton telah meningkat sebanyak 38.5% kepada 835 unit berbanding 603 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu. Proton Saga telah mendahului jualan eksport dengan 427 unit terjual sejak awal tahun. Proton X50 pula menduduki tempat kedua dengan 176 unit terjual, manakala Proton S70 merekodkan 89 unit dalam pasaran eksport tunggalnya, Brunei, untuk empat bulan pertama tahun ini.