PRO-NET, sebuah anak syarikat automotif kereta nasional Proton, telah mengambil alih pengurusan jenama e.MAS, penambahan terbaru di dalam portfolio kenderaan elektrik (EV) mereka selepas pelancaran rasmi jenama e.MAS pada 12 Jun 2024.
PRO-NET telah diberikan tanggungjawab yang penting dalam membangunkan jenama e.MAS bagi mengukuhkan pasaran dan bersiap sedia untuk pelancaran produk yang akan datang. Tanggungjawab ini termasuklah merekrut sebuah pasukan yang berdedikasi, menubuhkan rangkaian pengedar yang kukuh serta menjalinkan kerjasama dengan syarikat pengecas bagi memastikan ekosistem EV berjalan dengan lebih lancar.
Melihat rekod prestasi daripada pelancaran smart #1 yang kini menjadi pesaing utama dalam segmen SUV Premium dan juga pengenalan smart #3 yang akan datang, PRO-NET telah bersiap sedia untuk menerajui jenama Proton e.MAS. PRO-NET akan memanfaatkan rangkaiannya yang kukuh, berserta pengembangan platform digitalnya dan juga kakitangan yang pakar dalam teknologi EV bagi memastikan e.MAS bukan sahaja dapat menyaingi tetapi juga melepasi kejayaan yang diperlihatkan model jenama smart dalam lanskap EV.