Dalam usaha sama ke arah mobiliti lestari dan operasi yang lebih cekap, Northport (Malaysia) Bhd dan PRO-NET (Proton New Energy Technology Sdn Bhd) hari ini mengumumkan penyerahan tiga unit Proton e.MAS 7 untuk kegunaan pasukan polis bantuan Northport. Sebagai model kenderaan elektrik nombor 1 di Malaysia, e.MAS 7 menetapkan piawaian baru dalam operasi keselamatan hijau. Pencapaian ini juga menandakan Northport sebagai syarikat dan pengendali pelabuhan pertama di negara ini yang mengguna dan mengendalikan e.MAS 7 dalam pengurusan kenderaan syarikat, sekaligus mengukuhkan komitmennya dalam usaha ESG korporat dan penyelesaian pengangkutan lestari.
Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Northport, sebuah organisasi yang menjadi contoh dalam mengamalkan kelestarian. Proton e.MAS 7 direka untuk kegunaan harian yang praktikal, dan penggunaannya dalam operasi Northport membuktikan bahawa kenderaan elektrik ini bukan sekadar visi masa depan, tetapi satu penyelesaian yang boleh diguna pakai hari ini. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan mobiliti lestari dengan lebih bermakna.”
Northport Menggunakan Proton e.MAS 7 untuk Memperkukuh Inisiatif Pelabuhan Hijau
Penggunaan Proton e.MAS 7 ini mencerminkan usaha berterusan Northport untuk menjadikan operasinya lebih mesra alam. Sebagai SUV elektrik sepenuhnya pertama dari Proton, e.MAS 7 menawarkan manfaat praktikal untuk kegunaan harian. Pemanduannya yang lancar dan senyap bukan sahaja menjadikan pengalaman rondaan lebih selesa, malah membantu mengurangkan keletihan anggota bertugas, terutamanya dalam syif yang panjang. Operasi yang lebih senyap turut membantu mengurangkan pencemaran bunyi di sekitar kawasan pelabuhan. Dengan keupayaan pengecasan pantas, kenderaan ini sentiasa bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.