Piston.my

Proton Melancarkan Proton X50 Edisi Sukan Eksklusif (SE) – RM105,300

Proton telah melancarkan Proton X50  Edisi Sukan (SE), varian eksklusif SUV terlarisnya yang menawarkan gabungan unik kesukanan dan  keanggunan. Dengan penambahbaikan pada rekaan dan ciri dalaman, X50 SE memberikan pengalaman  pemanduan yang lebih istimewa.  

Proton X50 2024 merupakan SUV segmen B No.1 di Malaysia pada tahun lepas, kedudukan yang telah  dipegang oleh model ini sejak pelancarannya pada tahun 2020. 

Dengan lebih daripada 128,000 unit terjual, ia merupakan pilihan popular di kalangan peminat SUV dan  Proton X50 SE bertujuan untuk meningkatkan lagi kejayaan ini, menawarkan estetika yang lebih sporty  dan premium sambil mengekalkan prestasi, keselamatan, dan teknologi canggih yang dijangkakan oleh  pelanggan daripada Proton. 

Keistimewaan yang Menambah Eksklusif 

Proton X50 SE menampilkan 13 penambahbaikan eksklusif, diketuai oleh Aerokit sporty yang  menampilkan skirt hadapan, belakang, dan sisi. Warna badan Quartz Black yang menonjol dipadankan dengan hiasan hitam berkilat di bahagian hadapan dan belakang, manakala roda aloi hitam 18 inci dan  pelekat badan yang khas melengkapkan penampilannya. 

Di bahagian dalam, model ini menawarkan kecanggihan dan kepraktisan yang lebih tinggi. Peningkatan  utama termasuk pengecas peranti tanpa wayar untuk sambungan peranti yang lancar, tikar karpet edisi  sukan yang menambah sentuhan eksklusif pada kabin, plat pelindung keluli tahan karat untuk menambahkan  ketahanan dan gaya, serta dulang but untuk pengurusan kargo yang lebih baik. 

Proton X50 SE dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter yang pernah memenangi anugerah dan menghasilkan  150 PS dan 226 Nm tork. Ia dipandankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan (7DCT) dan sama seperti  model asas, penarafan keselamatan model ini kekal tinggi dengan memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP. 

Dengan mengintegrasikan kemas kini terkini, model SE menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih  intuitif dan selesa. Dilengkapi unit infotainment 10.3 inci canggih dengan pemproses dwi-kuad-teras, system ini memberikan akses kepada pelbagai ciri termasuk system arahan suara “Hi Proton” dan aplikasi  Proton Link untuk kawalan kenderaan jarak jauh. Kamera 360 Darjah Definisi Tinggi dengan paparan 3D sekeliling membantu parkir yang lebih selamat, manakala sistem audio 6 pembesar suara meningkatkan kualiti audio. Kerusi pemandu dilengkapi dengan pelarasan kuasa 6 arah, dan penyaman udara automatik  memastikan suasana kabin yang selesa. Untuk keselesaan dan privasi yang optimum, Proton X50 SE  dilengkapi dengan tint keselamatan yang mengurangkan sinaran UV berbahaya.  

Edisi Terhad dengan Pilihan Istimewa 

Secara keseluruhan, peningkatan produk pada Proton X50 SE memberikan nilai tambah sebanyak RM10,000 kepada pembeli, tetapi Proton menawarkannya pada harga yang menarik iaitu RM105,300  dengan pengeluaran terhad kepada hanya 1,000 unit. Syarikat juga memperkenalkan rebat tunai dan  Angpau untuk tempoh terhad serta menawarkan rebat RM7,000 pada bulan Januari dengan jumlah penjimatan sebanyak RM13,500. 

“Dengan memanfaatkan kejayaan luar biasa Proton X50, edisi sukan ini hadir untuk memberikan lebih  banyak kegembiraan kepada pelanggan Proton. Dengan SE, kami ingin membangkitkan semangat  pemanduan yang lebih “sporty” dan memenuhi keinginan pelanggan yang selama ini menantikan sebuah  kereta yang lebih dinamik,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton. 

Seiring dengan pelancaran Proton X50 Edisi Sukan, Proton turut menganjurkan kempen Test Drive  and Win Prosperity Campaign dengan hadiah utama sebuah Proton X50 Edisi Sukan baharu. Pelanggan  boleh menikmati ujian pandu model Proton di mana-mana pengedar Proton dari Januari hingga Mac  2025. Mereka kemudiannya akan layak untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM5,000 serta  hadiah utama bulanan iaitu pakej percutian bernilai RM10,000. Dengan setiap pembelian kereta Proton  baru, pelanggan akan secara langsung menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah utama.  

Tempahan untuk Proton X50 Edisi Sukan kini boleh dibuat secara dalam talian di laman web rasmi Proton atau di bilik pameran Proton yang sah di seluruh negara.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan