Piston.my

Volvo EX90 Baharu Dinobatkan Sebagai ‘World Luxury Car of the Year 2024’

Baru sahaja dilancarkan di Malaysia, Volvo EX90 serba baharu dan sepenuhnya elektrik telah mencapai pencapaian luar biasa — dinobatkan sebagai World Luxury Car of the Year 2024.

Pengiktirafan berprestij ini diumumkan menjelang New York International Auto Show, dengan juri World Car Awards — terdiri daripada 96 wartawan automotif terkemuka dari 30 negara — memuji gabungan mewah Skandinavia yang diperhalusi, prestasi elektrik sepenuhnya yang bertenaga, serta inovasi keselamatan bertaraf dunia yang dimiliki EX90.

Anugerah ini turut mengukuhkan lagi kedudukan EX90 sebagai kereta Volvo paling canggih dari segi teknologi dan paling selamat pernah dihasilkan. Direka sebagai sebuah “komputer atas roda”, EX90 menawarkan pengalaman pemanduan yang lancar dan sentiasa bertambah baik melalui kemas kini perisian over-the-air, sensor pintar, serta sistem keselamatan generasi baharu yang berpaksikan data masa nyata.

Dibina berasaskan Superset tech stack yang dibangunkan oleh Volvo Cars sendiri dan dikuasakan oleh platform NVIDIA DRIVE AI, sistem pengkomputeran utama EX90 mengendalikan setiap aspek kenderaan — daripada infotainmen dan ciri keselamatan hinggalah bantuan pemanduan lanjutan.

Dengan keupayaan pemprosesan yang tinggi, EX90 digandingkan dengan rangkaian sensor lengkap termasuk radar, kamera, sensor ultrasonik dan sistem lidar terkini. Ia merupakan model Volvo pertama yang bersedia untuk pemanduan autonomi secara berperingkat, sejajar dengan perkembangan perisian dan kelulusan perundangan. Sensor-sensor ini juga meningkatkan prestasi sistem Pilot Assist generasi baharu, yang kini mampu memberikan bantuan automatik semasa pertukaran lorong.

Lidar: Dimensi Baharu Keselamatan

Unit lidar Luminar yang disepadukan kemas pada garis bumbung EX90 menggunakan pancaran laser berdenyut untuk mengukur jarak dalam ruang tiga dimensi dengan ketepatan yang tinggi. Berbeza daripada sistem yang hanya bergantung pada radar dan kamera, lidar menambah dimensi baharu dalam pengesanan, membolehkan EX90 mengenal pasti objek sebenar dan persekitaran secara masa nyata sama ada pejalan kaki sejauh 250 meter, atau bahaya kecil dan gelap seperti tayar yang terlepas di atas jalan pada jarak 120 meter – semuanya ketika bergerak pada kelajuan lebuh raya dan dalam keadaan gelap sepenuhnya.

Perbezaan yang dibawa oleh lidar dalam keselamatan dunia sebenar adalah sangat ketara: penyelidikan Volvo Cars menunjukkan bahawa penambahan lidar kepada kenderaan yang sudah selamat boleh mengurangkan kemalangan serius sehingga 20%, dan meningkatkan keupayaan mengelak pelanggaran sehingga 9%.

Pemahaman Pemandu: Sistem Yang Menjaga Anda

EX90 turut memperkenalkan sistem Driver Understanding yang baru-baru ini disenaraikan sebagai salah satu Best Inventions of 2024 oleh majalah TIME. Sistem ini menggunakan dua kamera dalaman, sensor stereng berkapasitif, dan perisian berpaten yang mampu mengenal pasti corak pandangan mata serta tingkah laku stereng secara masa nyata — bagi memantau sama ada pemandu berada dalam keadaan mengantuk, terganggu atau terjejas. Sekiranya perlu, kenderaan akan mengambil tindakan untuk memberi sokongan kepada pemandu.

Sekiranya diaktifkan, sistem akan memberikan amaran secara berperingkat – bermula dengan bunyi dan visual lembut, diikuti peringatan lebih kuat dan konsisten jika perlu. Sekiranya pemandu tidak memberi tindak balas atau pengsan secara tiba-tiba, EX90 boleh menghentikan kereta dengan selamat, mengaktifkan lampu kecemasan dan menghubungi bantuan kecemasan.

Dengan kecerdasan tersendiri, sistem ini mampu membezakan antara gangguan visual – apabila pemandu kurang melihat jalan – dan gangguan kognitif, iaitu apabila pemandu menatap jalan secara berlebihan tanpa memberi tumpuan. Ia dibangunkan berdasarkan penyelidikan dunia sebenar, ujian simulasi dan analisis mendalam oleh pakar Volvo Cars selama sedekad.

Occupant Sensing: Tiada yang Tertinggal

EX90 turut memperkenalkan sistem pengesanan penumpang – satu sistem keselamatan yang  menggunakan radar sensitif di seluruh ruang dalaman kenderaan, termasuk but, untuk mengesan sebarang pergerakan kecil — seperti nafas bayi yang sedang tidur. 

Direka untuk membantu menangani salah satu punca tragedi yang terlalu kerap berlaku dalam kehidupan sebenar — fenomena “forgotten baby syndrome” — sistem Occupant Sensing EX90 hanya diaktifkan apabila anda cuba mengunci kenderaan. Sekiranya terdapat ahli keluarga atau haiwan peliharaan yang dikesan berada di dalam kenderaan, sistem ini akan menghalang kenderaan daripada dikunci dan memberi amaran melalui lampu, hon kenderaan serta notifikasi menerusi aplikasi Volvo Cars App.

Antaramuka Pengguna Generasi Baharu

EX90 turut memperkenalkan sistem infotainmen terkini menerusi paparan pusat bersaiz 14.5 inci yang dikuasakan oleh Snapdragon Cockpit Platforms. Segala fungsi – daripada tetapan kereta, navigasi, media hinggalah sambungan telefon, boleh diakses melalui antaramuka yang lebih intuitif, ringkas dan mengunakan sentuhan yang minimum. Sistem ini juga belajar dari tabiat pemandu dan akan mencadangkan aplikasi paling sesuai berdasarkan penggunaan. 

Melengkapi paparan utama ialah satu paparan kecil di belakang stereng yang menunjukkan informasi penting seperti kelajuan, arah dan baki jarak. Pemandu boleh menyesuaikannya kepada beberapa mod – “Calm” untuk paparan minimal, “Surround” untuk pandangan lalu lintas sekeliling, dan “Navigation” untuk akses peta lebih cepat. Paparan ini turut disokong oleh heads-up display terbesar pernah digunakan dalam kenderaan Volvo – supaya pemandu kekal fokus sepenuhnya di jalan raya.

Tempahan Kini Dibuka

Volvo EX90 ditawarkan pada harga runcit disyorkan RM442,888 untuk Semenanjung Malaysia. Ia hadir dengan perkhidmatan digital percuma selama lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam dan jaminan kenderaan tanpa had perbatuan. Bateri voltan tinggi turut dilindungi dengan jaminan selama lapan tahun.

Sebagai penghargaan awal, 50 pelanggan terawal akan menerima baucar pengecas dinding dan pengadang matahari panoramik lipat bernilai RM5,000 secara percuma.

Pelanggan yang berminat boleh mengunjungi laman web Volvo Car Malaysia atau pengedar sah terpilih untuk menempah pandu uji.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan