Piston.my

Northport Jadi Pelabuhan Pertama Menggunakan Proton e.MAS 7 Sebagai Kereta Rondaan yang Lebih Hijau

Dalam usaha sama ke arah mobiliti lestari dan operasi yang lebih cekap, Northport (Malaysia) Bhd dan PRO-NET (Proton New Energy Technology Sdn Bhd) hari ini mengumumkan penyerahan tiga unit Proton e.MAS 7 untuk kegunaan pasukan polis bantuan Northport. Sebagai model kenderaan elektrik nombor 1 di Malaysia, e.MAS 7 menetapkan piawaian baru dalam operasi keselamatan hijau. Pencapaian ini juga menandakan Northport sebagai syarikat dan pengendali pelabuhan pertama di negara ini yang mengguna dan mengendalikan e.MAS 7 dalam pengurusan kenderaan syarikat, sekaligus mengukuhkan komitmennya dalam usaha ESG korporat dan penyelesaian pengangkutan lestari.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata: “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Northport, sebuah organisasi yang menjadi contoh dalam mengamalkan kelestarian. Proton e.MAS 7 direka untuk kegunaan harian yang praktikal, dan penggunaannya dalam operasi Northport membuktikan bahawa kenderaan elektrik ini bukan sekadar visi masa depan, tetapi satu penyelesaian yang boleh diguna pakai hari ini. Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan mobiliti lestari dengan lebih bermakna.” 

Northport Menggunakan Proton e.MAS 7 untuk Memperkukuh Inisiatif Pelabuhan Hijau

Penggunaan Proton e.MAS 7 ini mencerminkan usaha berterusan Northport untuk menjadikan operasinya lebih mesra alam. Sebagai SUV elektrik sepenuhnya pertama dari Proton, e.MAS 7 menawarkan manfaat praktikal untuk kegunaan harian. Pemanduannya yang lancar dan senyap bukan sahaja menjadikan pengalaman rondaan lebih selesa, malah membantu mengurangkan keletihan anggota bertugas, terutamanya dalam syif yang panjang. Operasi yang lebih senyap turut membantu mengurangkan pencemaran bunyi di sekitar kawasan pelabuhan. Dengan keupayaan pengecasan pantas, kenderaan ini sentiasa bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Teknologi janaan elektrik yang cekap membantu mengurangkan penggunaan bahan api dan perlepasan karbon. Tambahan pula, dengan bilangan komponen bergerak yang lebih sedikit berbanding kenderaan petrol biasa, kos penyelenggaraan juga dapat dikurangkan. Ini menjadikan e.MAS 7 satu langkah bijak dalam perjalanan Northport ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari.  

“Di Northport, kami komited untuk mengamalkan pendekatan yang lestari dan menyokong penyelesaian tenaga bersih. Proton e.MAS 7 sejajar dengan matlamat alam sekitar kami serta menyokong inisiatif Pelabuhan Hijau dan komitmen ESG kami. Sebagai sebuah pelabuhan yang berbangga dengan identiti Malaysia, pemilihan jenama PROTON turut mencerminkan sokongan kami terhadap inovasi tempatan dan pembangunan industri negara. Proton e.MAS 7 menawarkan keseimbangan yang tepat antara prestasi, keselamatan dan teknologi — menjadikannya pilihan yang sesuai untuk memenuhi keperluan operasi pelabuhan yang mencabar,” kata Fakhrul Azhar Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif Northport.

Memandu Perubahan dengan Keyakinan dan Tujuan

Semakin ramai syarikat tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan Malaysia yang berusaha untuk menyelaraskan diri dengan matlamat pengurangan karbon negara, langkah Northport ini adalah satu langkah penting dalam usaha memacu kenderaan EV dalam pengangkutan korporat. Dengan memilih e.MAS 7, Northport menunjukkan bahawa kelestarian dan prestasi operasi boleh berjalan dengan lancar. Ciri-ciri moden kenderaan ini, operasi yang senyap, sambungan digital, dan jarak pemanduan yang baik menjadikannya pilihan ideal untuk kegunaan berfrekuensi tinggi seperti rondaan keselamatan.

Proton e.MAS 7 mewakili permulaan babak baru dalam visi mobiliti elektrik PRO-NET. Direka dengan mengambil kira keperluan pengguna persendirian dan komersial, e.MAS 7 menggabungkan kecekapan tenaga, keselesaan pemanduan, dan fungsi canggih dalam sebuah kenderaan yang siap untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia yang semakin berkembang.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan