Di sebalik arus peralihan industri automotif global ke arah elektrifikasi, pendigitalan dan pengecilan saiz enjin, Mazda menegaskan pendiriannya untuk tidak mengorbankan nilai teras yang menjadikan model ikonik MX-5 — atau lebih dikenali sebagai Miata — kekal digemari selama lebih tiga dekad.
Walaupun sudah lebih sepuluh tahun di pasaran, Miata generasi keempat (ND) terus mencuri hati peminat kereta sports kompak seluruh dunia. Mazda kini dilihat bersungguh-sungguh untuk mengekalkan semangat asli model ini dalam generasi pengganti yang akan datang.
Menurut laporan Road & Track, Pengurus Besar Bahagian Reka Bentuk Mazda, Masashi Nakayama, telah mengesahkan bahawa MX-5 generasi baharu akan mengekalkan falsafah kejuruteraan ringan. Sasaran syarikat adalah untuk memastikan berat kenderaan (kerb weight) kekal di bawah 1,000kg—mencerminkan pendekatan model khas MX-5 ND 990S yang hanya dijual di Jepun.
Walaupun kebanyakan pembeli kereta masa kini menjangkakan kabin yang lebih luas bagi setiap model baharu, Mazda menegaskan bahawa generasi seterusnya MX-5 akan mengekalkan dimensi yang padat. Panjang keseluruhan dijangka kekal di bawah empat meter, menyamai ukuran semasa model ND iaitu 154.1 inci (sekitar 3.9 meter).
Dari sudut prestasi, Ketua Pegawai Teknikal Mazda, Ryuichi Umeshita, mendedahkan bahawa model baharu akan menampilkan enjin aspirasi semula jadi serba baharu, menggantikan enjin Skyactiv-G 1.5L dan 2.0L sedia ada. Unit baharu yang dikenali sebagai Skyactiv-Z itu dijangka menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder dengan teknologi pembakaran termaju “lambda one”, yang beroperasi pada nisbah udara-ke-bahan api yang ideal untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan pelepasan karbon serta menambah baik penjimatan bahan api tanpa menjejaskan prestasi.
Tambah Umeshita, jika Mazda mengekalkan sesaran 2.0 liter dengan teknologi baharu ini, kuasa akan berkurang secara ketara. Oleh itu, peningkatan kepada 2.5 liter diperlukan untuk mengekalkan karakteristik pemanduan yang menyeronokkan.
Walaupun angka kuasa rasmi masih belum diumumkan, Mazda menjangkakan prestasi enjin baharu ini akan mengatasi model ND sedia ada yang menjana 181hp, atau sehingga 197hp bagi varian khas 12R di Jepun. Penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan kelancaran tindak balas dan kendalian pemanduan.
Selaras dengan identiti analogik MX-5, generasi baharu itu turut akan mengekalkan transmisi manual—suatu ciri yang semakin jarang ditawarkan dalam pasaran automotif moden. Mazda mengekalkan konfigurasi tiga pedal tradisional ini sebagai penghormatan kepada golongan peminat tegar yang menghargai pengalaman pemanduan sebenar.
Dari segi elektrifikasi pula, Mazda mengakui sedang meneroka kemungkinan MX-5 versi elektrik sepenuhnya. Namun, syarikat sedar akan kekangan berat akibat penggunaan pek bateri. Oleh itu, versi EV penuh tidak dijangka dilancarkan untuk generasi akan datang. Sebaliknya, penggunaan sistem hibrid ringan (mild hybrid) dilihat sebagai pilihan yang lebih praktikal, kerana kesannya terhadap berat adalah minimum.
Bagi pasaran Eropah, yang kini hanya menerima varian 1.5 liter disebabkan peraturan pelepasan yang ketat, pengenalan enjin Skyactiv-Z baharu yang direka untuk memenuhi piawaian Euro 7 berkemungkinan membolehkan unit 2.5 liter yang lebih besar dihomologasikan, dengan sokongan teknologi hibrid ringan 48 volt.
Ketika ini, garis masa pengenalan rasmi MX-5 generasi seterusnya masih belum dimuktamadkan. Dengan kemas kini ND3 diperkenalkan pada 2024, model semasa dijangka kekal dalam pengeluaran untuk beberapa tahun lagi. Mazda merancang untuk melancarkan model pertama menggunakan enjin Skyactiv-Z menjelang akhir 2027, bermula dengan versi hibrid CX-5, sekali gus membuka laluan kepada MX-5 baharu sekitar tahun 2028.
Sementara menanti kemunculan model generasi baharu, Bermaz Motor—pengedar rasmi Mazda di Malaysia—baru-baru ini melancarkan Mazda MX-5 Edisi Ulang Tahun Ke-35, sebagai penghormatan kepada tiga dekad lebih legasi Miata. Edisi khas ini meraikan gabungan sempurna antara reka bentuk abadi dan semangat Jinba-Ittai.