Audi terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen sedan premium bersaiz penuh dengan pengenalan model terbaharu A6 Sedan, yang dijadualkan dilancarkan secara global mulai pertengahan April 2025. Model ini mewakili era baharu dalam reka bentuk kejuruteraan automotif Audi, dengan penekanan terhadap keanggunan, prestasi tinggi dan kecanggihan teknologi.
Model terkini ini mencatatkan pekali seretan hanya 0.23, menjadikannya model pengeluaran Audi paling aerodinamik dalam sejarah syarikat yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman. Keupayaan ini dicapai menerusi pendekatan holistik terhadap reka bentuk dan kejuruteraan, dengan perhatian khusus terhadap pengaliran udara dan kestabilan kenderaan.
Dari aspek trenkuasa, A6 Sedan baharu dikuasakan oleh pilihan enjin petrol dan diesel moden yang digabungkan dengan teknologi Mild Hybrid Electric Vehicle (MHEV). Sistem hibrid ringan ini membolehkan penggunaan tenaga elektrik secara terhad dalam pemanduan bandar berkelajuan rendah dan semasa meluncur, sekali gus meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon.
Antara pilihan enjin yang ditawarkan termasuk:
-
Enjin 2.0 liter TDI empat silinder yang menghasilkan 204PS
-
Enjin 3.0 liter TFSI enam silinder yang menghasilkan 367PS
Kedua-dua varian menerima bantuan sistem elektrik yang mampu menambah sehingga 230Nm tork dan 24PS kuasa tambahan dalam situasi pecutan atau pemotongan kenderaan lain. Selain itu, sistem pemulihan tenaga semasa nyahpecutan mampu menjana sehingga 25 kW tenaga.
Dari segi reka bentuk, A6 Sedan baharu menyerlah dengan bahasa rekaan terkini Audi, menampilkan keseimbangan antara kesukanan dan keanggunan. Gril hadapan Singleframe direka lebih rendah dan lebar, disepadukan bersama lampu utama LED yang tajam serta langsir udara baharu yang berfungsi mengoptimumkan pengaliran udara dan menambah kehadiran visual yang dinamik.
Bahagian belakang menampilkan rekaan ekor memanjang yang condong ke atas secara halus, bersama jalur lampu belakang berterusan serta lampu brek menegak, sekaligus menegaskan ciri premium model ini dari setiap sudut pandang.
Dari sudut dinamik pemanduan, sistem suspensi udara adaptif ditawarkan bagi menyesuaikan ketinggian dan redaman mengikut keadaan jalan raya. Dalam mod pemanduan biasa, ketinggian kenderaan diturunkan sebanyak 20mm, manakala dalam mod dinamik, ia diturunkan lagi sebanyak 10mm untuk meningkatkan kestabilan dan mengurangkan rintangan angin.
Model ini turut dilengkapi sistem stereng semua roda (all-wheel steering), yang meningkatkan ketangkasan pada kelajuan rendah serta kestabilan semasa memandu pada kelajuan tinggi. Pada kelajuan rendah, roda belakang berputar ke arah bertentangan dengan roda hadapan bagi memudahkan pergerakan, manakala pada kelajuan tinggi, ia berpusing ke arah yang sama untuk meningkatkan kestabilan.
Bagi memastikan keselesaan maksimum, Audi juga telah menambah baik penebat bunyi kabin sehingga 30 peratus berbanding generasi terdahulu. Penambahbaikan ini melibatkan penggunaan bahan kalis bunyi pada tingkap, pintu, pelekap enjin dan tayar, sekaligus mewujudkan suasana pemanduan yang lebih senyap dan mewah.
Audi A6 Sedan baharu akan dipasang di fasiliti Audi di Neckarsulm, Jerman dan bakal ditawarkan ke pasaran global.