Piston.my

Jaguar Land Rover Malaysia Memperkenalkan Defender V8 di Pasaran Malaysia

Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) telah melancarkan Defender V8 di pasaran Malaysia. Defender V8 direka cipta untuk menyerlahkan keupayaan menggabungkan teknologi prestasi moden, reka bentuk dalaman mewah dan kuasa enjin mengagumkan, sekali gus menetapkan penanda aras baharu bagi SUV mewah di Malaysia. 

Defender V8 boleh didapati dalam dua pilihan dinamik, Defender 110 V8 dan Defender 130 V8. Kehebatan Defender V8 terletak pada enjin V8 yang berkuasa tinggi, dan disediakan dalam dua konfigurasi hebat. Defender 110 V8 dipacu enjin 5.0L supercharged V8, dengan 525PS dan tork 625Nm, serta keupayaan memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 5.4 saat. Sementara itu, Defender 130 V8 dipacu enjin V8 5.0L menghasilkan 500PS dan tork 610Nm, yang mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Kedua-dua ini direka untuk  memberikan pengalaman memandu luar biasa, sama ada menyusuri jalan-jalan bandar atau mengharungi permukaan jalan lasak. 

Dengan nada dan bunyi ekzos tersendiri, Defender V8 dilengkapi dengan empat paip ekzos dipasang luar (Quad outboard mounted exhaust pipes), menghasilkan bunyi V8 yang gagah perkasa, dengan deruman yang membezakannya daripada versi lain. Defender V8 meneruskan warisan terdahulunya, tetapi menggabungkan kuasa dan prestasi tinggi dengan kejuruteraan moden yang dinaik taraf. Kenderaan ini bukan setakat SUV prestasi tinggi biasa, tetapi merupakan kombinasi warisan klasik dan teknologi terkini. 

Direka dengan ciri-ciri serba guna, Defender 110 V8 menyediakan kerusi belakang boleh dipanaskan 40:20:40 dengan reka bentuk lipatan terpisah serta alas lengan tengah, manakala Defender 130 V8 memuatkan kerusi belakang 60:40 dengan geluncuran dan sandaran manual yang membolehkan ruang kargo diluaskan dengan kerusi lipat 40:20:40 dan tempat duduk baris ketiga yang membolehkannya membawa 8 penumpang, memberikan tahap fleksibiliti tiada tandingan dan keselesaan dalam setiap perjalanan. 

Defender V8 pasti menambat hati para peminat Land Rover, boleh didapati dalam dua versi, dengan harga bebas cukai bermula daripada RM998,000 untuk Defender 110 V8 dan RM1.198 juta untuk Defender 130 V8.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan