Piston.my

Audi Q7 S Line Baharu Kini Dibuka Untuk Tempahan – Harga Anggaran Bermula dari RM469,000

PHS Automotive Malaysia (PHSAM), pengedar rasmi kenderaan Audi di Malaysia mengukuhkan keberadaannya dalam segmen premium mewah pada tahun 2025 menerusi pengenalan Audi Q7 flagship pemasangan tempatan. Q7 baharu dijangka berada di pasaran pada bulan Mei dan bakal ditawarkan pada harga  RM469,000 dan RM489,000. 

SUV flagship ini tampil atletik menerusi garis badan yang berani dan kemasan S line yang meningkatkan lagi  gayaan luaran serta dalamannya. Hadir sebagai ciri standard, Black Styling Package Plus pasti akan  menyerlahkan lagi penampilan luaran Q7. 

Penampilan luaran Q7 didefinisikan oleh gayaan S line yang merangkumi rekaan bampar hadapan dan belakang  tersendiri, serta skirting sisi yang menyerlahkan lagi karakternya yang sporty. Dengan Black Styling Package  Plus, penampilan Q7 yang atletik ditingkatkan melalui penggunaan Audi Singleframe dan lencana Q7. Logo Audi  di hadapan dan belakang pula hadir dalam warna kelabu (anthracite grey). Spoiler belakang dan rim Audi  Sports 5-V-spoke bersaiz 22 inci itu menyerlahkan gaya yang begitu agresif. 

Sebagai sebuah jentera yang canggih, Q7 dilengkapi lampu utama HD Matrix LED baharu yang terdiri daripada  Audi Laser Light dan Digital OLED pada lampu belakang untuk meningkatkan gaya dan keberadaannya. 

Q7 menggunakan enjin petrol TFSI V6 bersesaran 3.0 liter yang mampu menjana kuasa sehingga 340PS dan 500Nm tork. Sistem MHEV (Mild Hybrid Electric Vehicle) menggunakan teknologi 48V untuk  meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan emisi. 

Rangkaian kuasa ini membolehkan Q7 memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 5.6 saat, dengan pecutan  maksimum mencecah 250km/j. Kuasa tersebut disalurkan menerusi transmisi Triptronic 8 kelajuan dengan  agihan pintar ke keempat-empat roda menerusi sistem pacuan semua roda sepanjang masa quattro. 

Ciri Audi Drive Select membolehkan pemandu memilih tujuh mod berbeza untuk mengoptimumkan prestasi di  atas pelbagai permukaan jalan raya.

Q7 mendefinisikan kembali aspek keselesaan menerusi penggunaan sistem suspensi udara adaptif (Adaptive  Air Suspension Sport). Ia berfungsi mengubah suai ketinggian dan tahap keselesaan suspensi berdasarkan kepada mod pemanduan yang dipilih. Ciri All-Wheel Steering pula meningkatkan aspek pergerakan dengan membuatkan urusan memarkir kenderaan menjadi lebih mudah. 

Sama seperti semua kenderaan Audi, Q7 dilengkapi pelbagai teknologi keselamatan yang direka bagi  memastikan pemandu sentiasa peka dengan kondisi trafik dan membantu mengelakkan daripada berlakunya  kemalangan. Antaranya termasuklah ciri Head-Up Display dan beberapa sistem keselamatan aktif seperti Audi  Pre-sense (hadapan dan belakang), Side Assist with Exit Warning, Rear Cross Traffic Assist dan Lane Departure Warning.  

Sentuhan S line di ruang dalaman Q7 termasuklah kemasan kulit Valcona pada tempat duduk Sports Seat Plus  dengan sulaman logo S, stereng kulit bersama rekaan rata di bahagian bawahnya dan paddle shifter. Pakej  lampu ambien (Ambient Lighting Package Plus) menawarkan 30 pilihan warna untuk pengalaman yang lebih  personal dalam setiap perjalanan. 

Audi Q7 dengan tujuh tempat duduk direka untuk memberikan aspek kemewahan dan praktikaliti yang  seimbang, di samping ruang kaki yang luas pada semua tiga baris tempat duduknya.  

Konfigurasi tempat duduk yang versatil memastikan perubahan boleh dibuat dengan mudah untuk meluaskan ruang kargo jika perlu. Tempat duduk baris kedua boleh dibaringkan. Manakala tempat duduk baris ketiga boleh menempatkan dua orang penumpang dan boleh diakses dengan mudah apabila kerusi baris kedua ditolak ke hadapan. 

Q7 mempunyai ciri Power Latching Doors yang mudah untuk dikunci – terima kasih kepada penutup berkuasa  yang berfungsi menarik daun pintu jika ia tidak ditutup dengan sempurna. Ini membolehkan pintu dikunci  dengan senyap secara automatik dan menawarkan pengalaman yang lebih premium. 

Ciri-ciri standard lain termasuklah fungsi urutan pada kerusi hadapan, pendingin hawa 4 zon, pad pengecasan  tanpa wayar, pintu but boleh dibuka dengan pergerakan kaki dan sistem bunyi premium 3D Bang & Olufsen. 

Empat warna luaran ditawarkan – putih (Glacier White), biru (Waitomo Blue) dan hitam (Mythos Black)  merupakan pilihan warna metalik, manakala warna kelabu (Daytona Grey) hadir dengan kemasan mutiara.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan