Piston.my

Jualan Proton Melonjak Semula Pada Mac Dengan Penguasaan Segmen Yang Kukuh

Proton mengakhiri suku pertama 2025 dengan pemulihan jualan yang ketara  pada bulan Mac dengan 13,918 unit terjual, peningkatan sebanyak 23.9% berbanding Februari dan 9.6% lebih  tinggi daripada bulan yang sama pada tahun 2024. Hasilnya, bahagian pasaran bagi jualan kumpulan (domestik, eksport, smart, Proton, e.MAS) dijangka 19.4% daripada anggaran Jumlah Volum Industri (TIV) sebanyak  71,596 unit.  

Keputusan yang kukuh ini telah melonjakkan jualan Proton pada suku pertama kepada 35,068 unit, yang  bersamaan dengan bahagian pasaran sebanyak 18.9% berdasarkan jumlah volum industri (TIV) sebanyak  184,652 unit. Pencapaian ini didorong oleh prestasi jualan yang kukuh merentasi keseluruhan barisan model,  pertumbuhan dalam jualan eksport serta sumbangan daripada penawaran tenaga baru syarikat. Terutamanya, Proton e.MAS 7 telah menunjukkan prestasi yang baik dalam tiga bulan pertamanya dan merupakan kenderaan elektrik (EV) terlaris di Malaysia.  

Jumlah kesemua model ICE Proton mencatatkan peningkatan di semua kategori dengan dua model terus  mendahului jualan segmen pada bulan Mac. Proton S70 terus mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju  segmen sedan C dengan 2,125 unit terjual, peningkatan sebanyak 77.5% berbanding Februari. Ia menjadikan  jumlah jualan kumulatif tahun sehingga kini (YTD) kepada 4,465 unit.  

Daya tarikan model ini melangkaui promosi, menawarkan gabungan gaya dinamik, prestasi yang diperhalusi,  dan ruang dalaman yang luas serta kaya dengan teknologi yang terbukti menjadi kombinasi yang menarik bagi  pembeli yang mencari kenderaan yang bergaya namu praktikal. Sama ada untuk golongan bujang, profesional  muda, atau keluarga yang sedang berkembang, S70 serasi dengan gaya hidup masa kini, menawarkan  kepraktisan harian tanpa menjejaskan reka bentuk atau keseronokan pemanduan.  

Sementara itu, Proton X90 kekal sebagai model dominan untuk SUV segmen-D. Jualan meningkat sebanyak  73.6% pada bulan Mac kepada 302 unit, menjadikan jumlah jualan Tahun Sehingga Kini (YTD) kepada 679 unit.  Bagaimanapun, Proton X50 kekal sebagai SUV Proton terlaris dengan 1,858 unit terjual pada bulan Mac dan jumlah jualan YTD suku pertama 2025 sebanyak 5,117 unit.  

Bagi Proton X70 pula, SUV segmen-C ini telah mengalami kebangkitan semula jualan dan menunjukkan  pertumbuhan yang kukuh dengan 835 unit terjual pada bulan Mac, peningkatan sebanyak 29.3% berbanding  Februari. Untuk suku pertama 2025, jualan juga meningkat sebanyak 52% dengan 2,158 unit terjual.  

Proton Saga yang ikonik mencatatkan jualan bulanan tertinggi pada bulan Mac dengan 6,154 unit terjual,  peningkatan 22.5%, sekaligus melepasi paras 6,000 unit buat pertama kali tahun ini. Proton Persona dan Proton Iriz, dua lagi model ICE Proton, juga mencatatkan jualan bulanan tertinggi pada bulan Mac dengan 1,482 unit  dan 337 unit terjual.  

Dalam segmen jualan kenderaan elektrik (EV), Proton e.MAS 7 terus menjadi peneraju berbanding semua model  EV lain. Sebanyak 797 unit (domestik dan eksport) Proton e.MAS 7 terjual pada bulan Mac, meningkatkan jumlah  kumulatif YTD suku pertama 2025 kepada 1,853 unit.  

“Jualan bulanan Proton meningkat sebanyak 23.9% pada bulan Mac, mengatasi pertumbuhan TIV sebanyak  12%, sementara jumlah jualan juga meningkat sebanyak 9.6% berbanding bulan yang sama pada tahun 2024.  Kami mengaitkan keputusan ini dengan promosi jualan agresif kami yang menawarkan nilai hebat kepada semua  pembeli Proton, dan tahap perkhidmatan terbaik dalam kelasnya yang disampaikan oleh rangkaian pengedar  3S/4S di seluruh negara yang tiada tandingan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.  

“Menjelang suku kedua tahun 2025, kami menjangkakan pelancaran berterusan beberapa model baru yang akan  menawarkan pelbagai tawaran menarik. Namun, Proton tetap yakin bahawa rangkaian pengedar kami dan  komitmen kepada pembeli kereta Malaysia akan memberikan pengalaman pemilikan jangka panjang yang  terbaik kepada pelanggan kami,” tambahnya. 

Operasi eksport Proton terus berkembang pada suku pertama 2025, dengan jumlah eksport meningkat  sebanyak 211% pada bulan Mac kepada 417 unit terjual berbanding Februari. Hasilnya, jumlah jualan eksport  kini 11.4% lebih tinggi berbanding suku pertama 2024, dengan Proton Saga menerajui penghantaran 410 unit  ke pasaran luar negara pada tahun ini. Penawaran kenderaan tenaga baru Proton juga telah membantu  mengembangkan jumlah eksport dengan penghantaran ke Nepal dan Trinidad & Tobago sebagai penyumbang ketara kepada jualan eksport.  

“Eksport merupakan tonggak penting bagi strategi pertumbuhan Proton. Walaupun perjalanan untuk  mencapai sasaran jangka panjang kita masih jauh, kita yakin pelaburan luar negara kita mula menunjukkan hasil  yang positif dan penawaran model semasa serta masa depan, kita akan menarik minat pembeli di dalam dan  luar negara,” tambah Roslan Abdullah.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan