Piston.my

Berjaya dan Jetour Malaysia Menjalin Perkongsian CKD Strategik

Dalam satu langkah penting yang dijangka merubah landskap automotif negara, Berjaya Assembly Sdn Bhd — anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Sdn Bhd — telah menandatangani perjanjian strategik bersama Jetour Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Jetour Auto. Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Bhd, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun, dan Naib Presiden Jetour Auto, Encik Ke Chuandeng.

Perkongsian ini akan memberi tumpuan kepada projek pemasangan tempatan model Jetour secara Completely Knocked Down (CKD), di samping membawa masuk rangkaian kenderaan generasi baharu Jetour ke pasaran Malaysia. Inisiatif ini juga akan meletakkan Malaysia sebagai pusat strategik untuk pengembangan Jetour di rantau Asia Tenggara.

Peneraju dalam Transformasi Industri 4.0

Kerjasama ini turut menekankan komitmen kedua-dua pihak terhadap prinsip Industri 4.0, termasuk integrasi teknologi canggih seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan automasi robotik dalam proses pengilangan. Usaha ini bukan sahaja akan mengoptimumkan kecekapan operasi dan produktiviti, tetapi turut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam pembuatan automotif pintar dan mampan.

Jetour juga merancang untuk mempertingkatkan pelaburannya di Malaysia, sekali gus memacu penyetempatan industri, memperluas rangkaian pembekal tempatan, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam sektor automotif dan teknologi.

Jetour Dashing: SUV Pertama Dilancarkan untuk Pasaran Malaysia

Seiring dengan termeterainya perjanjian strategik ini, Jetour Malaysia turut melancarkan model pertama mereka untuk pasaran tempatan — Jetour Dashing, sebuah SUV bergaya dan moden yang dijangka memasuki pasaran Malaysia bermula April 2025.

Bagi menyokong kemasukan model tersebut, Jetour kini sedang giat memperkukuh rangkaian jualan dan perkhidmatan dengan penubuhan 15 cawangan yang telah pun beroperasi. Syarikat itu turut merancang untuk membuka 30 lagi pusat 4S dan 3S menjelang penghujung tahun 2025. Rangkaian ini akan meliputi kawasan strategik di seluruh Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, termasuk Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak.

Bagi memastikan kepuasan pelanggan berterusan, Jetour juga telah menubuhkan inventori alat ganti yang kukuh di seluruh negara untuk menyokong keperluan selepas jualan dan meningkatkan tahap kebolehpercayaan pemilikan kenderaan Jetour dalam jangka panjang.

Menerajui Masa Depan Mobiliti Pintar

Kerjasama antara Berjaya dan Jetour ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Jetour di pasaran tempatan, malah meletakkan Malaysia di barisan hadapan sebagai hab pembuatan automotif pintar serantau. Gabungan antara inovasi global dan kepakaran tempatan diyakini mampu merangsang pertumbuhan ekonomi, memacu penciptaan pekerjaan serta memperkukuh rantaian bekalan domestik.

Dengan peningkatan kapasiti pemasangan CKD, inisiatif ini dijangka mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah menjadi pusat automotif berteknologi tinggi – sekaligus mentakrifkan semula landskap mobiliti masa depan yang lebih lestari dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan