Piston.my

Nissan Umum Pelbagai Model Baharu Dan Teknologi Terkini Bagi Tahun 2025-2026

Nissan Motor Co., Ltd. mengumumkan barisan model baharu dan dinaik taraf yang akan diperkenalkan sepanjang tahun fiskal 2025 dan 2026, selari dengan pengenalan teknologi generasi baharu. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan prestasi syarikat, meningkatkan kesetiaan pelanggan, menarik pembeli baharu serta menggalakkan pertumbuhan yang mampan dalam industri automotif.

Nissan merancang untuk memenuhi permintaan pengguna dengan menawarkan rangkaian kuasa yang lebih pelbagai, termasuk teknologi hibrid e-POWER dan hibrid plug-in (PHEV), selain model kenderaan elektrik (EV) generasi akan datang serta enjin pembakaran dalaman (ICE) yang lebih cekap. Pengenalan ini dijangka menetapkan penanda aras baharu dalam industri automotif global.

NISSAN LEAF GENERASI KETIGA

Antara sorotan utama adalah model Nissan LEAF serba baharu yang kini direka semula sepenuhnya sebagai crossover dengan reka bentuk aerodinamik yang lebih baik serta kecekapan pemanduan yang dipertingkatkan. Model ini juga dilengkapi dengan roda aloi 19-inci dan bumbung panoramik buat pertama kalinya.

Untuk pasaran Amerika Utara, Nissan LEAF akan menyokong Standard Pengecasan Amerika Utara (NACS), membolehkan akses kepada rangkaian Tesla Supercharger. Model ini dibangunkan menggunakan platform modular CMF-EV, sama seperti Nissan Ariya, serta dilengkapi dengan rangkaian kuasa EV 3-dalam-1 baharu yang meningkatkan kecekapan tenaga dan jarak pemanduan. Maklumat lanjut mengenai model ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

TEKNOLOGI HIBRID e-POWER GENERASI KETIGA

Nissan turut memperkenalkan teknologi e-POWER generasi ketiga yang menawarkan kecekapan bahan api sehingga 15% lebih baik berbanding sistem sebelumnya. Enjin 1.5 liter baharu yang direka khas untuk e-POWER ini membolehkan sistem beroperasi dengan lebih cekap, mengurangkan pelepasan karbon serta tahap bunyi dan getaran yang lebih rendah.

Berbeza dengan hibrid konvensional, e-POWER menggunakan enjin petrol semata-mata untuk mengecas bateri, manakala motor elektrik berfungsi sebagai pemacu utama kenderaan. Teknologi ini akan diperkenalkan pada model Nissan Qashqai di Eropah pada FY25, diikuti oleh Rogue generasi baharu untuk pasaran Amerika Utara dan sebuah minivan besar di Jepun menjelang FY26.

PELANCARAN MODEL BAHARU MENGIKUT PASARAN

Amerika Utara: Peluasan Barisan EV dan Hibrid

Lebih daripada sepuluh model baharu dan diperbaharui akan dilancarkan, termasuk LEAF generasi baharu, Rogue PHEV pertama di rantau ini serta sedan Sentra generasi seterusnya. Nissan turut merancang untuk memulakan pengeluaran SUV EV baharu di kilangnya di Canton, Mississippi pada FY27.

Amerika Latin: Pikap dan SUV Baharu

Nissan akan memperkenalkan SUV subkompak baharu serta sedan Versa yang diperluaskan ke lebih banyak pasaran. Frontier/Navara baharu akan tiba pada FY26 dengan reka bentuk dan teknologi terkini, manakala model e-POWER X-Trail akan diperluaskan ke lebih banyak pasaran di rantau ini.

Eropah: Fokus pada Elektrifikasi

Pasaran Eropah akan menerima tiga model EV utama pada FY25, termasuk Nissan Micra EV serba baharu yang dibangunkan bersama Renault. Selain itu, Qashqai generasi baharu akan menggunakan teknologi e-POWER terkini, manakala Juke EV serba baharu dijangka diperkenalkan menjelang FY26.

Jepun: Model Elektrik dan Minivan Baharu

Pasaran Jepun akan menyaksikan pelancaran Nissan LEAF generasi baharu dan model Kei yang dikemas kini pada FY25. Menjelang FY26, sebuah minivan generasi baharu dengan teknologi e-POWER akan diperkenalkan.

Pasaran Global Lain

  • Oceania: Nissan Ariya EV akan mula dijual di Australia pada FY25, diikuti oleh Patrol serba baharu dan Qashqai e-POWER pada FY26.
  • Afrika: SUV kompak Magnite akan diperkenalkan di pasaran pemanduan kiri tertentu, manakala Patrol baharu akan debut di Mesir dan Afrika Selatan.
  • India: Dua model baharu akan diperkenalkan – sebuah MPV pada FY25 dan SUV kompak lima tempat duduk pada FY26, kedua-duanya akan dikeluarkan di kilang Nissan di Chennai.
  • Timur Tengah: Nissan Z NISMO akan diperkenalkan pada FY25, manakala crossover mewah QX65 akan menyertai barisan model pada FY26.

KOMITMEN NISSAN TERHADAP INOVASI DAN KEMAMPANAN

Dengan pelbagai pelancaran model baharu serta teknologi inovatif, Nissan komited dalam menyediakan kenderaan yang memenuhi keperluan pengguna global serta mengekalkan daya saing dalam industri automotif. Maklumat lanjut mengenai setiap model akan diumumkan lebih dekat dengan tarikh pelancaran rasmi.

Nissan terus maju dengan visinya untuk masa depan yang lebih lestari, inovatif, dan berdaya saing dalam industri kenderaan global.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan