Proton telah menayangkan tayangan terbaharu siri filem pendek Hari Raya pada majlis berbuka puasa. Edisi 2025 dihasilkan dengan kerjasama Elite Definition Sdn Bhd, pengedar eksklusif untuk Penyegar Udara Little Joe di Malaysia.
Filem tahun ini menampilkan Proton e.MAS 7, SUV kenderaan elektrik (EV) segmen-C baru Proton, dengan menonjolkan ciri-ciri unik yang telah menjadikannya model EV paling laris di Malaysia dalam dua bulan pertama tahun ini. Filem ini berdurasi hampir 27 minit dan berkisar tentang tema Hari Raya tradisional, iaitu keluarga, kemaafan, dan kepentingan komunikasi. Filem ini dilakonkan oleh pelakon popular Malaysia seperti Que Haidar, Azwan Ali, dan Fatimah Abu Bakar di bawah arahan Pekin Ibrahim.
“Tahun lepas, filem pendek Hari Raya pertama Proton bersama Little Joe telah berjaya mengumpulkan 5.2 juta tontonan di semua platform media sosial, memastikan kami mencapai audiens yang luas dan beraneka ragam. Mengambil kira keputusan tersebut, kami berbesar hati untuk berkolaborasi sekali lagi dalam menghasilkan filem yang memaparkan pengajaran hidup dalam konteks nilai-nilai Hari Raya tradisional, sambil turut menonjolkan EV pertama kami, Proton e.MAS 7,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
Turut diumumkan semasa acara tayangan perdana, Kempen Pengambilan Pekerja Proton 2025 dijadualkan berlangsung dari April hingga Julai 2025, menawarkan sehingga 732 kekosongan jawatan di seluruh rangkaian pengedar syarikat di seluruh negara. Program ini bertujuan untuk menarik individu yang berminat dalam industri automotif, dengan jawatan yang tersedia dalam bidang jualan, perkhidmatan selepas jualan, pemasaran, dan pengurusan am. Inisiatif ini menekankan komitmen Proton dalam memupuk bakat tempatan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam sektor automotif yang berkembang pesat.
Usaha Menarik Bakat di Seluruh Negara
Kempen pengambilan pekerja akan dimulakan dengan pengiklanan bersasar di portal pekerjaan popular, diasingkan mengikut wilayah untuk memastikan capaian yang meluas. Selain itu, Proton telah bekerjasama dengan institusi-institusi utama seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Institut Proton, dengan kerjasama Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), kolej vokasional yang dikendalikan kerajaan yang mempunyai pengkhususan dalam pembangunan kemahiran berteknologi tinggi. Kerjasama-kerjasama ini bertujuan untuk menghubungkan syarikat dengan individu yang mencari pekerjaan serta menyediakan kemahiran penting bagi mereka untuk berjaya dalam industri automotif.
Menjana Pertumbuhan Ekonomi Melalui Pembangunan Modal Insan
Semasa ucapannya di acara tersebut, Roslan Abdullah menekankan kepentingan inisiatif ini dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia. “Sebagai jenama automotif negara, Proton berdedikasi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Industri automotif sedang mengalami transformasi pesat, didorong oleh kemajuan teknologi yang membentuk semula cara kenderaan direka, dijual, diservis, dan digunakan. Ini merupakan peluang keemasan bagi individu untuk membina kerjaya yang cemerlang dalam sektor yang pesat membangun ini.”
“Melalui Kempen Pengambilan Pekerja Proton 2025, kami berhasrat bukan sahaja untuk mengisi jawatan jawatan penting dalam organisasi kami, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja mahir yang akan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia,” tambah beliau.