Michelin Malaysia baru-baru ini melancarkan Michelin Primacy 5 untuk kenderaan penumpang dan crossover daripada semua jenis enjin, dengan slogan “Confidence Made to Last”. Membawakan peningkatan signifikan berbanding model terdahulu, Michelin Primacy 4, tayar baharu ini hadir dengan inovasi utama bagi prestasi yang lebih hebat serta kesan terhadap alam sekitar yang lebih rendah.
Prichapakorn Dangrojana, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura, dan Brunei berkata: “Michelin Primacy 5 baharu ini direka untuk memenuhi keperluan kenderaan moden yang semakin berkembang, sambil mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Kenderaan moden, terutamanya hibrid dan elektrik, memberikan lebih banyak tekanan kepada tayar kerana kuasa kuda yang lebih tinggi dan lebih berat. Oleh itu, tayar ini telah dioptimumkan untuk menangani cabaran tersebut, dengan peningkatan terhadap jangka hayat tayar dan rintangan gelinciran yang lebih rendah, sekali gus mengurangkan kos operasi. Pada masa yang sama, prestasi cengkaman atas permukaan jalan basah yang berterusan memastikan keselamatan sepanjang jangka hayat tayar.”
“Di Michelin, kami komited untuk membangunkan dan memperkenalkan produk yang memberi manfaat kepada pelanggan. Dengan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap SUV bersaiz besar serta populariti kenderaan elektrik yang semakin meningkat, Michelin Primacy 5 direka untuk memberikan nilai terbaik buat pengguna bagi perjalanan harian mereka, dengan keselamatan yang dipertingkatkan serta pemanduan yang lebih senyap,” tambah Dangrojana.
Michelin Primacy 5 baharu menawarkan pelbagai kelebihan yang tersendiri, termasuk:
- Keselesaan Pemanduan yang Premium, hasil reka bentuk corak bunga tayar baharu dengan teknologi Michelin Silent Rib Gen-3, yang mengurangkan gegaran dan bunyi dengan signifikan untuk memberikan pengalaman pemanduan yang lebih lancar, senyap, selesa, dan santai.
- Ketahanan Luar Biasa, dengan 24 peratus lebih jarak perjalanan berbanding jenama premium lain hasil daripada peningkatan 10 peratus nisbah lowong berbanding model sebelumnya, serta tepi alur sisi yang dioptimumkan, yang membantu mengekalkan prestasi cengkaman lebih lama di permukaan jalan basah. Ciri-ciri tersebut digabungkan pula dengan teknologi MaxTouch, yang memaksimumkan sentuhan dengan jalan raya dan mengagihkan daya pecutan, brek, dan selekoh secara sekata. Secara keseluruhan, kesemua ciri ini memastikan jangka hayat tayar yang lebih panjang tanpa mengkompromi aspek keselamatan. Oleh itu, pelanggan dapat menikmati perjalanan mereka dengan lebih lama dan memperoleh nilai maksimum daripada tayar mereka.
- Keselamatan di Permukaan Jalan Basah untuk Tempoh Lebih Lama, dengan jarak brek 8 peratus lebih pendek ketika baharu dan 13 peratus lebih pendek apabila haus berbanding jenama premium lain. Ini dicapai melalui Functional Elastomers 3.0 yang digabungkan dengan teknologi Michelin EverGrip dan Michelin EverTread untuk mengoptimumkan penyaliran air, sekali gus meningkatkan prestasi brek di permukaan jalan basah – memastikan perjalanan yang lebih selamat untuk pemandu dan orang tersayang.
- Keserasian dengan Kenderaan Elektrik (EV), menerusi sebatian getah bunga tayar berprestasi tinggi yang mengurangkan rintangan gelinciran sebanyak 13 peratus untuk meningkatkan kecekapan tenaga, sekali gus membantu memanjangkan jangka hayat bateri kenderaan elektrik.
Dalam pada meningkatkan prestasi, keselamatan, dan keselesaan, Michelin Primacy 5 juga lebih mesra alam – selaras dengan strategi “All Sustainable” Michelin Group. Rintangan gelinciran ditambah baik sebanyak 5 peratus, manakala jangka hayatnya meningkat sebanyak 18 peratus, membolehkan tayar digunakan sehingga mencapai had minimum kedalaman bunga tayar yang ditetapkan – sekali gus mengurangkan sisa buangan. Daripada segi reka bentuk, kesan alam sekitar tayar ini telah dikurangkan sebanyak 6 peratus.
Di Malaysia, Michelin Primacy 5 kini boleh didapati dalam 25 saiz, daripada 16 hingga 19 inci, di semua pengedar tayar sah Michelin di seluruh negara. Semua tayar bersaiz 18 inci dan ke atas dilengkapi dengan reka bentuk dinding sisi estetika yang menonjol, dengan kemasan lingkaran penuh jalur baldu.
Harga jualan yang disyorkan bagi Michelin Primacy 5 bermula daripada RM477 hingga RM1,026. Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.Michelin.com.my/.
Selain itu, dari 6 Januari hingga 9 April 2025, tiga pelanggan bertuah Michelin berpeluang memandu pulang sebuah Tesla Model Y Facelift 2025 serba baharu apabila membeli sekurang-kurangnya dua tayar Michelin dalam sebarang saiz daripada pengedar Michelin yang mengambil bahagian. Sila layari laman web rasmi Michelin untuk terma dan syarat penuh.