Piston.my

Proton Menguasai Segmen Pasaran Dan Meningkatkan Jualan EV Pada Bulan Februari

Proton mencatatkan peningkatan jualan kumpulan produk sebanyak 13.2%  pada bulan Februari 2025, hasil daripada pemulihan pasaran kereta selepas permulaan tahun yang lembap. Sebanyak 11,232 unit telah dijual pada bulan Februari melalui pelbagai unit perniagaan (domestik, eksport, smart,  Proton e.MAS), menghasilkan anggaran bahagian pasaran sebanyak 17.2% daripada ramalan jumlah volum  industri (TIV) sebanyak 65,276 unit.  

Jualan YTD dipimpin oleh tiga model Proton, sementara pemasangan Saga CKD bermula di Mesir

Walaupun sedang berusaha untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran EV, Proton terus memberi tumpuan  kepada penyediaan produk terbaik untuk pelanggan ICE. Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, tiga model  Proton mendahului segmen masing-masing untuk jualan tahun hingga kini (YTD).  

Proton S70 kekal sebagai sedan segmen-C terlaris di Malaysia, menawarkan gabungan prestasi, ruang,  sambungan, dan nilai dalam reka bentuk luaran yang menarik yang telah membantunya memenangi pelbagai  anugerah. Oleh itu, ia telah mendahului jualan segmen selama dua bulan berturut-turut, dengan 2,340 unit yang  dijual pada tahun 2025.  

Model SUV segmen-B Proton adalah satu lagi pilihan popular yang berterusan di kalangan pembeli kereta. Dengan hampir 130,000 unit terjual sejak pelancarannya pada Oktober 2020, Proton X50 terus melebihi  jangkaan dan merupakan penanda aras emas untuk kejayaan jualan.  

Proton X90, model utama Proton, terus mendominasi jualan SUV segmen-D, manakala Proton X70  mencatatkan jualan sebanyak 746 unit pada bulan Februari. Proton Saga terus mendominasi jualan semua  model Proton dengan 5,024 unit terjual bulan lepas, sementara model-model lain seperti Proton Persona dan  Proton Iriz masing-masing mencapai 1,323 dan 283 unit.  

Seiring dengan peningkatan jualan, bulan Februari juga membawa perkembangan baru kepada operasi eksport  Proton. Pada minggu terakhir bulan Februari, versi CKD Proton Saga pemanduan kiri (LHD) mula dikeluarkan  dari barisan pemasangan di fasiliti Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) di Mesir. Kenderaan yang  dihasilkan oleh ESAF akan memenuhi keperluan pelanggan di Mesir dan Afrika Utara, sekaligus membina  landasan bagi pengembangan pasaran di masa depan.  

Kemudahan baru ini dibina dengan pelaburan sebanyak USD50 juta, dengan kapasiti pengeluaran tahunan  sebanyak 40,000 kenderaan dan menandakan komitmen Mesir terhadap pembangunan perindustrian.  Penggunaan komponen yang diperoleh secara tempatan oleh kemudahan tersebut dan rancangan untuk  pengembangan masa depan, termasuk pengeluaran kenderaan elektrik (EV), sejajar dengan Wawasan 2030 Mesir. Ia juga sejajar dengan sasaran Proton untuk 10% daripada jumlah jualan mereka datang dari pasaran  eksport menjelang 2030. 

Proton e.MAS 7 terajui jualan EV, eksport mula dihantar 

Populariti Proton e.MAS 7 sedang melonjak, dengan peminat EV berpusu-pusu ke bilik pameran untuk melihat  sendiri EV pertama daripada OEM Malaysia. Lebih daripada 4,500 tempahan telah direkodkan, dengan bakal  pelanggan yang ingin mengambil kesempatan daripada pakej tawaran awal.  

Sebanyak 580 unit Proton e.MAS 7 telah dihantar pada bulan Februari, sekali gus melepasi had 1,000 unit bagi  jumlah keseluruhan penghantaran. Pencapaian tersebut membuktikan bahawa bilangan rakyat Malaysia yang  bersedia untuk membuat peralihan kepada kenderaan elektrik dengan Proton semakin meningkat, asalkan  pakej yang ditawarkan secara keseluruhan memenuhi jangkaan mereka.  

Selain daripada jualan domestik, Proton e.MAS 7 juga bersedia untuk mencipta pengaruh di pasaran eksport. Sebanyak 50 unit telah dieksport ke Nepal pada bulan Februari sebagai persiapan untuk pelancaran akan datang,  sementara sejumlah kecil unit turut dihantar ke Singapura dan Trinidad & Tobago untuk tujuan evaluasi.  

“Jualan Proton telah menunjukkan pemulihan pada bulan Februari setelah permulaan tahun 2025 yang  kurang memberangsangkan. Masih ada sedikit ketidakpastian tentang kemampuan pembeli tetapi buat masa  sekarang, jumlah jualan kami sedang menambah. Maka, Proton secara keseluruhan terus fokus untuk  meningkatkan volum jualan bagi rangkaian produk ICE kami, dan pada masa yang sama, menetapkan rentak di  pasaran EV. Dengan Proton e.MAS 7 yang telah terbukti berjaya di peringkat awal, cabaran kami kini adalah  untuk memastikan ia terus menjadi tumpuan sambil merancang dengan agresif untuk pengenalan model-model  kami yang lain pada akhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton. 

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan