Piston.my

Volvo Perkenal ES90 Elektrik, Model Flagship Baharu dengan Rekaan Unik dan Teknologi Canggih

Volvo Cars secara rasmi telah memperkenalkan Volvo ES90, sebuah model serba elektrik sepenuhnya yang tampil dengan identiti tersendiri, sekali gus melangkaui kategori kenderaan konvensional. Tidak tergolong sepenuhnya dalam kelas sedan mahupun SUV, ES90 hadir dengan rekaan anggun dan posisi badan yang tinggi, menyerlahkan ciri-ciri crossover premium yang serba moden. Model ini turut diangkat sebagai salah satu model flagship Volvo, setaraf dengan SUV elektrik EX90.

Dari segi rekaan luaran, ES90 mengekalkan identiti tersendiri Volvo menerusi penggunaan lampu hadapan LED ikonik “Thor’s Hammer”, dipadankan dengan lampu siang menegak serta gril minimalis. Bahagian belakang pula tampil kemas dengan lampu berbentuk C yang memanjang hingga ke cermin belakang berkecerunan tajam, melengkapkan rekaan hatchback yang bergaya serta praktikal.

Ruang Kargo Luas dan Dimensi Seimbang

Kepraktisan turut menjadi keutamaan apabila ruang kargo belakang menawarkan kapasiti sehingga 733 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata, atau 495 liter dalam konfigurasi standard. Tambahan pula, terdapat ruang storan hadapan (frunk) berkapasiti 48 liter, menjadikannya sesuai untuk pelbagai kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Dibina menggunakan platform SPA2 yang sama dengan EX90, Volvo ES90 menampilkan jarak roda sepanjang 310 cm, dengan panjang keseluruhan 5 meter. Ketinggian kelegaan tanah 20.3 cm serta lebar 212 cm memberikan keseimbangan antara gaya sporty dan praktikaliti. Penumpang turut menikmati ruang kaki yang luas serta 96 cm ruang kepala di bahagian belakang untuk keselesaan optimum.

Kabina Minimalis Berteknologi Tinggi

Ruang dalaman ES90 direka berteraskan konsep minimalis moden dengan penekanan terhadap teknologi canggih. Antara ciri utama ialah skrin sentuh bersaiz 14.5 inci dalam orientasi potret yang berfungsi mengawal hampir semua ciri kenderaan termasuk sistem pendingin hawa empat zon dan sistem audio premium Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara. Paparan digital pemandu bersaiz 9.0 inci serta paparan head-up display turut disediakan bagi memudahkan akses kepada maklumat penting pemanduan.

Menariknya, ES90 dipacu oleh dua pemproses berkuasa tinggi Nvidia Drive AGX Orin yang mampu melakukan lebih 500 trilion operasi sesaat. Ini membolehkan integrasi sistem keselamatan lanjutan, fungsi berasaskan kecerdasan buatan (AI), serta kemas kini perisian secara over-the-air (OTA).

Menurut Ketua Jurutera dan Pegawai Teknologi Volvo Cars, Anders Bell, keupayaan komputasi ini membolehkan Volvo terus mempertingkatkan tahap keselamatan dan prestasi kenderaan menerusi data, perisian, dan teknologi AI.

Prestasi Dinamik dan Pengecasan Pantas

Volvo ES90 menggunakan seni bina elektrik 800-volt yang menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW, membolehkan jarak perjalanan sekitar 300 km ditambah dalam hanya 10 minit, manakala pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam tempoh sekitar 20 minit. Tahap kecekapan aerodinamik turut dipertingkatkan dengan pekali seretan udara serendah 0.25, yang merupakan terbaik dalam sejarah Volvo.

Untuk pilihan pasaran, ES90 ditawarkan dalam tiga varian utama seperti berikut:

Varian Pacuan Kuasa Bateri Jarak (WLTP) Pecutan 0-97 km/j
Single Motor Pacuan Belakang 329 hp 92.0 kWh Sehingga 644 km
Twin Motor Pacuan Semua Roda 442 hp 106.0 kWh Sehingga 700 km
Twin Motor Performance Pacuan Semua Roda 670 hp 106.0 kWh Sehingga 700 km 3.9 saat

Pelancaran Global

Buat masa ini, Volvo ES90 telah mula dibuka untuk tempahan di beberapa pasaran terpilih di Eropah. Pelancaran untuk pasaran global lain dijangka diumumkan tidak lama lagi, namun masih tiada maklumat rasmi mengenai harga jualan serta tarikh ketibaan di pasaran lain termasuk Malaysia.

Melalui pengenalan ES90, Volvo sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menawarkan gabungan teknologi masa depan, prestasi cemerlang, serta rekaan mewah bagi memenuhi kehendak pengguna moden yang mengutamakan kenderaan elektrik berprestasi tinggi dan selamat.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan