Piston.my

Volkswagen ID. EVERY1: Konsep Model Elektrik Kompak Mampu Milik Untuk Eropah

Volkswagen terus mengukuhkan legasi penyediaan mobiliti mampu milik dengan memperkenalkan model konsep terbaharu, ID. EVERY1, sebuah kenderaan elektrik (EV) kompak yang direka sebagai pintu masuk baharu jenama itu ke dunia elektrifikasi. Meneruskan warisan model ikonik seperti Volkswagen Beetle dan Volkswagen Up, ID. EVERY1 hadir untuk membawa pemanduan mampan kepada pengguna umum, sejajar dengan peralihan global ke arah kenderaan elektrik.

Disasarkan khusus untuk pasaran Eropah, model ini dibangunkan sebagai sebahagian daripada rangkaian “Keluarga Kereta Bandar” Volkswagen dan dijangka memulakan produksi pada tahun 2027. Pelancaran ID. EVERY1 juga merupakan antara usaha Volkswagen dalam menyediakan barisan model yang pelbagai merangkumi pilihan enjin pembakaran dalaman cekap, hibrid moden dan kenderaan elektrik sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Volkswagen Passenger Cars, Thomas Schäfer, menjelaskan bahawa pengenalan ID. EVERY1 melengkapkan usaha jenama itu dalam menawarkan pilihan mobiliti mampu milik kepada semua lapisan pengguna. Menurut beliau, Volkswagen komited untuk memastikan setiap pelanggan dapat memiliki kenderaan dengan sistem pemanduan yang memenuhi keperluan mereka, termasuk model elektrik pada harga berpatutan. Schäfer turut menegaskan sasaran Volkswagen untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju teknologi automotif global menjelang 2030, tanpa meninggalkan identiti sebagai jenama untuk rakyat.

Ahli Lembaga Pengurusan Volkswagen bagi Pembangunan Teknikal, Kai Grünitz, pula memaklumkan bahawa ID. EVERY1 dibangunkan berasaskan pendekatan “Kenderaan Ditakrifkan Pelanggan”, iaitu reka bentuk dan teknologi yang berpusat kepada keperluan serta kehendak pengguna. Versi produksi model ini bakal menampilkan seni bina perisian canggih yang menyokong kemas kini sistem secara berterusan, membolehkan pemilik menikmati ciri tambahan baharu sepanjang tempoh penggunaan.

Dari segi reka bentuk, ID. EVERY1 membawa identiti visual yang mesra pengguna dengan sentuhan moden. Diilhamkan daripada Volkswagen Up, model ini menampilkan rekaan luaran ringkas tetapi berani, termasuk lampu hadapan dinamik dan rekaan belakang ikonik dengan elemen “senyuman” halus. Ketua Reka Bentuk Volkswagen, Andreas Mindt, menyatakan matlamatnya adalah untuk menghasilkan kenderaan yang bukan sahaja bergaya tetapi turut menonjolkan karekter mesra pengguna.

Dibina menggunakan platform Modular Electric Drive (MEB) baharu dengan pacuan roda hadapan, ID. EVERY1 menyertai barisan model elektrik bandar Volkswagen seperti ID. 2all dan versi berprestasi tinggi ID. GTI. Dikuasakan motor elektrik baharu yang menghasilkan 95 PS, kenderaan ini mampu mencapai kelajuan maksimum 130 km/j serta jarak pemanduan sekitar 250 km untuk setiap cas penuh. Dengan ukuran panjang 3,880 mm, ID. EVERY1 menawarkan ruang dalaman luas yang mampu memuatkan empat penumpang serta kapasiti ruang bagasi sebanyak 305 liter.

Melangkah ke hadapan, pengeluaran ID. EVERY1 adalah sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang Volkswagen di bawah perjanjian “Volkswagen Masa Depan” yang dimeterai bersama wakil pekerja pada Disember 2024. Perjanjian ini memberi fokus kepada kestabilan ekonomi, keselamatan pekerjaan serta kepimpinan dalam teknologi mobiliti mampan, sekali gus menetapkan hala tuju pembangunan syarikat hingga 2030.

Strategi ini akan digerakkan melalui tiga fasa utama. Fasa pertama, “Advance”, memberi tumpuan kepada pengukuhan daya saing dan peluasan barisan produk menjelang pratonton rasmi Keluarga Kereta Bandar Elektrik pada September 2025. Fasa kedua, “Attack”, pula bakal menyaksikan pelancaran sembilan model baharu menjelang 2027 termasuk ID. 2all dan ID. EVERY1 yang disasarkan masing-masing pada harga bawah €25,000 (RM119,381) dan €20,000 (RM95,513).

Akhir sekali, fasa ketiga iaitu “Achieve”, Volkswagen berhasrat mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kategori pengeluar volum tinggi dengan menawarkan kenderaan paling selamat, inovatif dan laris di dunia, selaras dengan misi asalnya sebagai jenama untuk semua.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan