Evolvelectric Motors Sdn Bhd (Evolvelectric Motors) secara rasminya memperkenalkan barisan trak pikap mewah JAC T9 ‘double-cab’ di Malaysia, yang menampilkan varian enjin pembakaran dalaman (ICE) dan model Battery Electric Vehicle (BEV). Kombinasi gaya yang menawan, ruang dalaman mewah, teknologi canggih dan prestasi memukau, T9 meletakkan tanda aras baharu bagi pasaran trak pikap di Malaysia.
Varian T9 2.0L diesel menjadi satu-satunya trak pikap di Malaysia yang mencapai penarafan lima-bintang bagi ujian keselamatan Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) mengikut protokol terkini. Sementara itu, T9 BEV pula menjadi trak pikap 4×4 elektrik pertama yang diperkenalkan di Malaysia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors, Lau Yit Mun, gaya yang versatil serta kepelbagaian yang ditawarkan oleh model T9 menjadikannya pilihan yang ideal untuk pemandu di Malaysia.
“JAC T9 direka untuk semua warga Malaysia — sama ada untuk perniagaan, keluarga atau kegunaan harian. Trak pikap T9 4×4 mudah adaptasi ke dalam pelbagai corak gaya hidup, T9 menawarkan ketahanan kenderaan bagi kegunaan seharian, keselamatan untuk keluarga serta bergaya dengan pengalaman pemanduan tersendiri. Rekaan yang menawan turut menjadi pelengkap sebagai sebuah trak pikap paling canggih yang pernah dibangunkan sepanjang sejarah 55 tahun JAC Motors dalam membangunkan industri kenderaan perdagangan ringan. Menggunakan platform antarabangsa generasi ketiga JAC, T9 memberikan kestabilan, keselesaan dan keselamatan menyeluruh kepada penggunanya,” ujar Lau.
Beliau turut menambah, kejayaan JAC yang didorong oleh kualiti dan prestasi menjadi bukti bagi kejayaan eksport. Pada tahun 2024, JAC Motors menjadi pengeksport utama China bagi trak pikap.
“Dilengkapi dengan lampu ambient 64-warna yang mengikut rentak dan irama muzik, T9 juga menyediakan ruang kabin dalaman yang dinamik dan elegan. T9 juga menampilkan pelbagai ciri-ciri yang menarik, seperti sistem pengecasan yang terdiri daripada pengecas tanpa wayar 50W, USB, USB-C dan soket 220V, perehat lengan dengan sistem pendingin untuk makanan dan minuman. T9 juga dilengkapi dengan skrin sentuh 10.4-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kluster instrumen 7-inci; kamera definisi tinggi, 360-darjah, 4 mod pemanduan: Eco, Normal, Sport dan Snow; dan Advanced Driving Assistance System (ADAS) Tahap 2. Semua ciri-ciri ini memudahkan lagi pemanduan T9,” tambah Lau.
Varian diesel T9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbodiesel yang menjana sebanyak 125kW dan 410Nm dari 1,500rpm hingga 2,500rpm. Ini digandingkan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.
T9 BEV 4×4 dikuasakan oleh bateri LFP 88kWh daripada Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL), memberikan jarak pemanduan sekitar 340km WLTP dengan satu pengecasan penuh. Menggunakan tetapan dua motor dengan janaan kuasa keseluruhan 220kW dan tork sebanyak 516Nm untuk mencapai kelajuan maksimum 140km/j. Trak pikap ini mampu menampung pengecasan pantas DC hingga 88kW, membolehkan bateri untuk mencapai tahap 15%-80% dalam masa 45 minit. Pengecas AC pula boleh mengecas dari 15%-100% dalam masa sekitar 8 jam 30 minit.
Bagi memperkasakan pengguna di Malaysia serta meraikan kejayaan pelancaran model T9, Evolvelectric Motors akan mengekalkan harga tawaran promosi pengenalan sehingga hujung tahun 2025, senarai harga seperti berikut:
- T9 Diesel dengan harga permulaan dari RM119,888 (Semenanjung Malaysia), atas jalan tidak termasuk insurans.
- 8 tahun jaminan enjin dengan jarak perbatuan tiada batas untuk pemilik atau pembeli yang pertama atau dengan syarat salah satu yang digunakan dahulu. Tertakluk pada terma dan syarat servis polisi syarikat.
- Jaminan sehingga 5 tahun atau jarak perbatuan tiada batas dengan syarat salah satu yang digunakan dahulu.
- T9 BEV dengan harga RM199,888 (Semenanjung Malaysia), atas jalan tidak termasuk insurans. Datang dengan jaminan 6 tahun atau 200,000km untuk bateri dengan syarat salah satu yang digunakan dahulu.