Bermaz Xpeng Sdn Bhd, pengedar eksklusif jenama XPENG di Malaysia, secara rasmi telah melancarkan model terbaharunya, XPENG X9 Ultra Smart Large Seven-Seater. MPV serba canggih ini ditawarkan pada harga bermula daripada RM269,888 dan kini dibuka untuk tempahan di seluruh negara.
XPENG X9 tampil sebagai penanda aras baharu dalam segmen kenderaan pelbagai guna (MPV) elektrik, dengan mengetengahkan gabungan teknologi revolusioner, praktikaliti, serta kemewahan moden yang direka khas bagi memenuhi keperluan keluarga dan individu berjiwa urban.
REKA BENTUK FUTURISTIK DAN DINAMIK
Dibangunkan berasaskan seni bina SEPA 2.0 XPENG yang terkini, X9 menonjol menerusi reka bentuk aerodinamik bertemakan angkasa lepas, diserlahkan oleh garis badan mengalir, siluet bumbung terapung serta bingkai unik “Starship” yang mencetuskan identiti tersendiri.
Bahagian hadapan menampilkan rekaan ikonik “Wajah Robot” dengan jalur lampu nyalaan siang (DRL) melintang penuh serta jeriji kristal berlapis bersama Sistem Pengatup Gril Aktif (AGS), sekali gus meningkatkan kecekapan aerodinamik dan penjimatan tenaga.
Bahagian belakang pula disempurnakan dengan cermin gaya coupé bersudut 23 darjah dan bar lampu ekor berterusan bagi meningkatkan keterlihatan serta gaya premium.
RUANG DALAMAN MEWAH DAN PINTAR
Masuk ke ruang kabin, X9 menawarkan suasana eksklusif berinspirasikan kokpit kapal angkasa, lengkap dengan konsol tengah serba pintar, kemasan venir kayu premium, serta lubang udara aluminium yang menaikkan elemen moden dan minimalis.
Antara ciri utama termasuk skrin hiburan bersaiz 21.4 inci, sistem pencahayaan ambien boleh laras, serta sistem penulenan udara canggih untuk keselesaan maksimum. Bagi penggemar audio, Sistem Bunyi X-Opera dengan 23 unit pembesar suara menawarkan pengalaman audio bertaraf konsert.
Tempat duduk fleksibel turut menjadi kelebihan XPENG X9, membolehkan konfigurasi daripada 7 tempat duduk kepada 4 tempat duduk mewah dengan satu sentuhan. Tempat duduk baris ketiga boleh dilipat secara elektrik, memberikan ruang bagasi seluas 2,554 liter, cukup luas untuk membawa pelbagai barangan besar termasuk bagasi bersaiz 20 inci.
Keselesaan penumpang turut dipertingkatkan menerusi tempat duduk Graviti Sifar ergonomik, fungsi urutan terbina dalam, sistem pelarasan elektrik baris ketiga, serta peti sejuk pintar untuk keselesaan maksimum semasa perjalanan jauh.
KUASA ELEKTRIK BERPRESTASI TINGGI
XPENG X9 hadir dengan teknologi voltan tinggi 800V berasaskan silikon karbida (SiC) yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 317 kW. Ini membolehkan bateri dicas daripada 10% hingga 80% dalam masa hanya 20 minit, menjadikannya antara MPV elektrik paling pantas untuk dicas dalam kelasnya.
Terdapat dua pilihan varian iaitu Standard Range 2WD Pro yang menggunakan bateri LFP 84.5 kWj dengan jarak perjalanan sehingga 500km, manakala varian Long Range 2WD Pro dengan bateri NMC 101.5 kWj mampu mencapai jarak maksimum sehingga 590km.
Kedua-dua varian menawarkan kuasa 315 hp dengan tork 450 Nm, disokong oleh sistem pengurusan tenaga pintar serta kawalan suhu canggih untuk prestasi optimum dalam pelbagai keadaan.
KESELAMATAN TERMAJU
XPENG X9 menampilkan struktur badan aluminium die-cast bersepadu depan dan belakang – pertama seumpamanya dalam kategori MPV elektrik 7 tempat duduk, bagi meningkatkan ketahanan serta perlindungan maksimum.
Dilengkapi sistem pemanduan bantuan XPILOT 2.5, X9 menawarkan pelbagai ciri keselamatan aktif seperti Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dengan fungsi Stop & Go, Kawalan Pemusatan Lorong (LCC), Bantuan Pusingan Adaptif (ATC), Bantuan Had Laju Pintar (SAS) serta Perubahan Lorong Aktif (ALC).
Selain itu, sistem bantuan parkir pintar merangkumi Bantuan Parkir Auto Dipertingkat (EAP 2.0), Bantuan Keluar Parkir Auto (AEP), dan fungsi Straight Summon yang boleh diaktifkan menerusi aplikasi mudah alih XPENG.
PILIHAN WARNA DAN JAMINAN
XPENG X9 ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Nebula White, Crescent Silver dan Dark Night Black. Bagi pilihan dalaman, pelanggan boleh memilih antara tema Starry Night Black atau Moon Shadow Brown, dengan kemasan kulit premium serta Nappa bagi varian tertinggi.
Harga bermula pada RM269,888 untuk standard range 2WD Pro, RM287,888 untuk 2WD Pro Long Range dan RM299,888 untuk 2WD Pro Plus Long Range.
Setiap pembelian X9 disertakan jaminan pengeluar selama 5 tahun atau 120,000 km (yang mana dahulu), servis dan penyelenggaraan percuma selama 5 tahun atau 100,000 km, serta jaminan bateri voltan tinggi selama 8 tahun atau 160,000 km.
Dengan gabungan reka bentuk futuristik, teknologi termaju dan fleksibiliti mesra keluarga, XPENG X9 diyakini bakal menjadi pilihan utama dalam segmen MPV elektrik mewah di Malaysia.
Bagi yang berminat, tempahan kini dibuka di semua bilik pameran XPENG seluruh negara.