Toyota mengukuhkan komitmennya untuk mengekalkan pengalaman pemanduan menerusi penggunaan transmisi manual, bagi memastikan peminat setia yang mengutamakan kawalan penuh dalam penukaran gear terus menikmati pilihan ini dalam barisan model mereka.
Ketika ini, model seperti GR86, GR Supra, GR Yaris dan GR Corolla hadir dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan, dipadankan secara eksklusif bersama enjin pembakaran dalaman berkuasa petrol. Toyota menegaskan bahawa tiada perancangan untuk meninggalkan formula tradisional ini dalam masa terdekat, malah terus memberi fokus terhadap memenuhi kehendak pemandu sejati yang mengutamakan keterlibatan pemanduan maksimum.
Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley, turut mengesahkan dedikasi berterusan Toyota dalam menyediakan kenderaan berorientasikan peminat. Menurut beliau, permintaan terhadap kereta prestasi tinggi dengan transmisi manual kekal kukuh meskipun dalam era elektrifikasi yang semakin berkembang.
“Masih wujud ruang untuk memuaskan hati pencinta kereta berprestasi tegar,” ujar Hanley. “Enjin pembakaran dalaman dan transmisi manual akan terus bertahan dalam tempoh yang panjang.”
Tambah beliau, sub-jenama prestasi Toyota, Gazoo Racing (GR), akan terus menjadi peneraju dalam menawarkan model berkuasa petrol dengan fokus terhadap pemanduan dinamik. Dengan portfolio sedia ada yang sudah menampilkan beberapa model manual, GR dilihat sebagai platform semula jadi bagi penghasilan kereta prestasi masa depan.
Hanley turut memberi bayangan mengenai perkembangan menarik dalam barisan GR, termasuk kemunculan Yaris M Concept yang tampil dengan konfigurasi enjin pertengahan. Konsep tersebut mencetuskan spekulasi kuat bahawa Toyota berkemungkinan besar akan menghidupkan semula model ikonik MR2, sekali gus menjadi antara petunjuk paling signifikan terhadap kebangkitannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Walaupun teguh menyokong minat peminat kereta berprestasi tradisional terhadap keunikan karakteristik enjin pembakaran dalaman, Hanley mengakui Toyota turut bersedia menghadapi masa depan tanpa petrol. Menurut beliau, GR akan berkembang dengan menghasilkan model prestasi elektrik, sambil menegaskan bahawa kemunculan kenderaan elektrik berprestasi tinggi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang jangkaan masa atau maklumat lanjut mengenai perancangan tersebut.
Selain elektrifikasi, Toyota turut meneroka teknologi hidrogen sebagai alternatif dalam meneruskan semangat pemanduan berprestasi tinggi yang lebih lestari. Hanley menekankan potensi penggunaan enjin pembakaran dalaman berkuasa hidrogen, yang mampu mengekalkan elemen mekanikal digemari ramai pemandu sambil mengurangkan pelepasan karbon secara signifikan.
Toyota merupakan antara pengeluar terkemuka yang aktif dalam pembangunan teknologi hidrogen, seiring dengan jenama lain seperti BMW, Hyundai dan Honda. Selain menumpukan kepada sel bahan api hidrogen, Toyota turut menerajui teknologi pembakaran hidrogen.
Antara hasil inovasi ini ialah GR Corolla H2 Concept, sebuah kereta lumba berkuasa hidrogen yang dilengkapi dengan transmisi manual. Prototaip ini menggunakan bahan api hidrogen cecair, yang menawarkan kelebihan masa pengisian bahan api lebih pantas berbanding hidrogen gas. Namun begitu, ia turut berdepan cabaran tersendiri, khususnya dalam aspek penyimpanan dan pengangkutan yang memerlukan suhu ekstrem bawah -253 darjah Celsius untuk memastikan kestabilan hidrogen cecair.
Meskipun Toyota sedang giat membangunkan kenderaan berprestasi tinggi berasaskan elektrik dan hidrogen, Hanley menegaskan bahawa daya tarikan kereta sport petrol dengan transmisi manual tetap akan dipertahankan. Dengan GR sebagai peneraju utama, Toyota bertekad mengekalkan semangat pemanduan yang tulen sambil meneroka teknologi alternatif yang lebih mesra alam bagi memenuhi keperluan masa depan industri automotif.