Piston.my

Isuzu Perkenalkan D-Max Baharu Untuk Kerja Keras

Sebagai pengeluar trak di peringkat global dengan produk paling berkeupayaan, pelbagai guna serta boleh diharapkan sejak dulu lagi, barisan kenderaan komersial Isuzu sentiasa memberi nilai tambah kepada operasi perniagaan. Penyandang rekod 11 tahun sebagai jenama kenderaan komersial No.1 di Malaysia, Isuzu sememangnya sangat memahami keperluan pelanggan. Untuk itu, syarikat itu memperkenalkan varian yang memberi tumpuan kepada operasi perniagaan dalam bandar — trak pikap Isuzu D-Max Double Cab 1.9-liter 4×2 Manual Low Ride yang baharu.

Disasarkan untuk menjadi penyelesaian pengangkutan yang mudah dan cekap antaranya kepada pengendali perniagaan, penyedia perkhidmatan mahupun syarikat yang mempunyai barisan kenderaan yang besar, Isuzu D-Max Low Ride 4×2 baharu ini menampilkan fungsi dan kecekapan sebagai keutamaannya, sekaligus menjadi sebuah trak pikap mampu milik dalam pasaran pada ketika ini.

Tarikan utamanya ialah ruang muatan barangan di kedudukan lebih rendah dengan jarak 78 cm dari tanah: ini adalah 5% lebih rendah berbanding model High Ride biasa dengan muatan beban. Selain urusan muat naik dan pemunggahan barangan yang lebih senang, capaian di bahagian bukaan ruangnya juga lebih baik, memudahkan petugas untuk mengambil barang dari ruang kargo yang luas dan mampu menampung beban seberat 930 kg.

“Isuzu D-Max Low Ride baharu ini direka untuk memberikan nilai yang penting kepada pemiliknya. Ciri-ciri asas dan fungsi yang ringkas adalah bertujuan untuk mengekalkan tahap kos operasi yang rendah disamping memberikan produktiviti tinggi,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Selain harga jualan lebih rendah yang menjadikannya sebuah trak pikap paling mampu milik dalam pasaran ketika ini, Isuzu D-Max Low Ride 4×2 baharu juga menjadikan kos operasi lebih murah melalui spesifikasi mekanikalnya yang sangat boleh diharap, terdiri daripada enjin 1.9 liter Blue Power yang sudah terbukti lasak, berprestasi serta jimat bahan api sekaligus. Tidak lupa, ia juga menikmati kadar cukai jalan antara yang termurah bagi trak pikap.

Walaupun tampil ringkas, rekaannya tetap menawan, begitu juga dengan aspek keselesaan dan keselamatan yang tidak diabaikan. Bampar depannya bergaya dengan penyudah warna badan Splash White agar ia tampil dengan imej kontemporari. Turut dihadirkan di ruang bampar berkenaan ialah lampu kabus yang juga lampu nyalaan siang untuk lebih berketerampilan di jalanan. Lampu utama halogen yang melengkapinya pula menyediakan pencahayaan yang jelas, lengkap dengan fungsi Follow-Me-Home. Ia juga memanfaatkan rim aloi 16-inci dengan saiz tayar 215/70 R16.

Untuk kemudahan, cermin sisinya merupakan kendalian kuasa, sementara empat-tingkapnya juga dikawal secara elektrik. Sistem kunci sentral pula akan diaktifkan melalui kelajuan pergerakan, dengan butang override tersedia untuk dipilih oleh pemandu.

Di dalam, kerusi balutan fabriknya tetap mampu memberikan keselesaan untuk perjalanan jauh. Bagi kesenangan pemandu, sterengnya boleh dilaraskan ketetapan tinggi-rendah serta dekat-jauh. Panel instrumen pula terdiri daripada paparan maklumat meter dengan jelas dengan saiz yang besar serta skrin multi-info 3.5-inci.

Pemain audio DIN tunggal yang ada mampu memainkan beberapa jenis codec muzik melalui USB, membolehkan fail hiburan dimainkan dengan mudah dan ringkas. Soket 12-volt juga tersedia di depan bagi memastikan peranti elektronik boleh dicas pada bila-bila masa.

Bagi memastikan keselamatan pemandu, penumpang serta barangan yang dibawa, Isuzu telah membangunkan D-Max generasi ketiga ini dengan piawaian keselamatan yang ketat. D-Max Low Ride baharu ini juga tidak ketinggalan, turut dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif dan pasif yang telah menyumbang terhadap penarafan lima-bintang bagi ASEAN NCAP.

Selain itu, trak pikap ini juga menampilkan ciri keselamatan seperti sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) serta kawalan menuruni bukit (HDC) — ciri-ciri yang menjadikan kenderaan ini lebih stabil dan selamat serta memudahkan pemanduan.

Prestasi pula datang dari enjin yang telah terbukti keupayaannya, iaitu unit 1.9 liter RZ4E-TC yang menghasilkan 150PS dan 350Nm tork dari 1,800 rpm-2,600 rpm — membekalkan kuasa yang cukup termasuk ketika membawa beban penuh. Selain itu, enjin yang sama juga tahan lasak dan jimat bahan api. Cabaran Dura Miles yang dilakukan sebelum ini membuktikan kecekapannya: dua buah D-Max Double Cab dengan enjin 1.9 liter yang sama mampu mengharungi perjalanan sejauh 2,004 km dengan hanya satu tangki bahan api sahaja.

Digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, gabungan ini memberikan penyampaian kuasa yang cemerlang dalam kedudukan gear rendah, sementara dalam gear tinggi pula ia memberikan kelancaran yang tiada tandingan. Paparan kedudukan gear di panel instrumen juga membantu pemandu memerhati penukaran gear bagi memastikan prestasi maksimum serta kecekapan dapat dicapai sentiasa.

Isuzu D-Max Low-Ride kini ditawarkan di semua bilik pameran rasmi Isuzu di seluruh negara dan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 150,000 km untuk kesenangan pelanggan. Harga atas jalan tanpa insurans ialah RM92,199.20.

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan