Kia Corporation secara rasmi memperkenalkan model terbaharu mereka, Kia EV4, dalam dua varian iaitu saloon dan hatchback menjelang Hari Kia EV kedua. Model ini direka bagi memperluaskan daya tarikan kenderaan elektrik (EV) Kia kepada khalayak yang lebih luas, menggabungkan inovasi reka bentuk serta teknologi canggih bagi memenuhi keperluan pengguna moden.
Reka Bentuk Berinovasi
Reka bentuk Kia EV4 berlandaskan falsafah ‘Opposites United’, yang menggabungkan elemen garisan tajam serta butiran teknikal yang berani untuk mencipta identiti tersendiri dalam segmen EV kompak. EV4 ditawarkan dalam dua bentuk badan berbeza, setiap satunya disesuaikan untuk pelbagai keperluan pemanduan.
EV4 Saloon menampilkan profil aerodinamik dengan hadapan yang anggun, bahagian sisi yang bersih, serta ekor panjang yang memberikan penampilan mewah dan futuristik. Sementara itu, EV4 Hatchback pula lebih kompak dan lincah, dengan reka bentuk dinamik yang sesuai untuk persekitaran bandar.
Ciri-Ciri Reka Bentuk Luaran
EV4 Hatchback
Hatchback EV4 hadir dengan pendirian teguh, ditonjolkan oleh reka bentuk tiang C menegak berwarna hitam yang kontras dengan badan kenderaan. Garisan tajam dan spatbor kukuh menyerlahkan karekter sporty model ini, manakala roda 19 inci yang dimesin memberikan sentuhan premium. Bahagian belakangnya menampilkan lampu belakang lebar serta tingkap condong yang mengukuhkan estetika moden dan berkuasa.
EV4 Saloon
Bagi varian saloon, reka bentuk ‘EV Tiger Face’ Kia digunakan, dengan lampu hadapan menegak serta pencahayaan ‘Star Map’ yang menjadi identiti khas jenama itu. Profil aerodinamik dengan bonet rendah serta bahagian belakang memanjang memberikan imej mewah dan sofistikated. Roda 19 inci direka dengan corak unik, manakala spoiler bumbung tersendiri menambahkan elemen futuristik pada model ini.
EV4 GT-Line
Untuk mereka yang mahukan penampilan lebih agresif, Kia turut menawarkan EV4 GT-Line yang menampilkan bampar depan dan belakang berbentuk sayap, serta roda bermotif segi tiga bersaiz 19 inci. Varian ini dirangka bagi memberikan prestasi serta gaya yang lebih sporty.
Debut Rasmi pada Hari Kia EV 2025
Model Kia EV4 akan membuat kemunculan rasmi pada Hari Kia EV 2025 yang dijadualkan berlangsung di Tarragona, Sepanyol, pada 24 Februari 2025. Selain pengenalan model ini, Kia juga akan mengumumkan strategi pengelektrikan syarikat untuk masa hadapan. Maklumat penuh mengenai reka bentuk dan spesifikasi teknikal akan didedahkan pada 27 Februari, manakala video rasmi acara akan diterbitkan di saluran YouTube Kia Worldwide pada bulan Mac 2025.
Dengan pengenalan EV4, Kia terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri EV global, menawarkan pengalaman pemanduan yang moden serta praktikal bagi pengguna di seluruh dunia.