Susulan tahun yang luar biasa di mana jumlah volum industri (TIV) mencapai rekod tertinggi 813, 521 unit, jualan automotif Malaysia menyusut pada bulan Januari. Ini kerana jualan yang tinggi pada bulan sebelumnya dan musim perayaan Tahun Baru Cina memberi kesan kepada pembelian kereta baru. Jualan pada Januari 2025 dianggarkan sebanyak 50,278 unit, menunjukkan penurunan yang ketara sebanyak 38.7% berbanding 81,987 unit pada Disember 2024. Berbanding jualan Januari tahun lalu, jumlah jualan juga menyusut sebanyak 24.9% daripada 66,925 unit yang dicatatkan setahun yang lalu.
Mengikuti penurunan dalam industri, jumlah kumpulan Proton pada Januari 2025 adalah 9,914 unit (domestik + eksport + Proton e.MAS + kereta smart). Ini berbanding dengan 12,882 unit (kereta ICE sahaja) yang dicatatkan pada Januari 2024. Berdasarkan anggaran TIV, bahagian pasaran diramalkan 19.7%, meningkat daripada 18.7% pada tahun lepas. Beberapa perkara penting bulan ini termasuklah Proton e.MAS 7 yang mengakhiri bulan pertama jualannya sebagai EV paling laris di Malaysia. Selain itu, terdapat peningkatan jumlah eksport sebanyak 86.9% berbanding tahun lalu, dan tiga model Proton yang memulakan tahun ini sebagai pemimpin jualan segmen.
Proton e.MAS 7 merupakan EV paling laris di Malaysia dengan 25% bahagian pasaran
Proton e.MAS 7, yang dilancarkan secara rasmi pada 16 Disember berikutan kempen publisiti yang menyeluruh, telah mendapat sambutan hangat daripada bakal pembeli EV. Dengan tempahan semasa yang telah melebihi 4,000 unit, sebanyak 3,000 unit tambahan kini ditawarkan dengan pakej manfaat pelancaran. Penghantaran kepada pelanggan kini telah bermula, berikutan ketibaan kereta-kereta tersebut pada awal tahun ini.
Dalam bulan pertama operasinya, sebanyak 421 unit SUV EV segmen-C telah berjaya diserahkan kepada pelanggan. Pencapaian ini meletakkan model tersebut sebagai EV paling laris di Malaysia dengan penguasaan 25% pasaran EV keseluruhan bagi bulan Januari. Melalui 30 cawangan Proton e.MAS yang kini beroperasi, unit unit e.MAS 7 telah diserahkan kepada pemilik. Lebih 80% daripada tempahan yang diterima adalah bagi model Premium dan dijangkakan akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang seiring dengan ketibaan lebih banyak unit dan pembukaan cawangan-cawangan baru.
“Dalam masa sebulan sahaja, Proton e.MAS 7 telah memimpin jualan EV, membuktikan bahawa rakyat Malaysia sedia beralih kepada kenderaan elektrik sekiranya produk dan harga yang ditawarkan menarik Dalam menggunakan teknologi canggih yang digabungkan dengan platform serba baru dalam pakej praktikal, Proton dapat menawarkan kepada pelanggannya produk yang boleh bersaing dengan jenama-jenama lain sambil memberikan nilai dan khidmat selepas jualan yang tiada tandingan dalam segmennya,” kata Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
Eksport bermula kukuh pada 86.9% tahun ini, X50, X90 dan S70 terajui segmen masing-masing
Setelah melabur dalam infrastruktur dengan rakan niaga luar negara untuk mengembangkan jualan eksport, Proton mula melihat beberapa hasil awal. Volum eksport mencapai angka bulan pembukaan terbaiknya sejak tahun penuh pertama kerjasama dengan Geely pada 2018 apabila 200 unit dihantar ke pasaran antarabangsa. Sebagai perbandingan, hanya 107 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lalu. Proton Saga mendahului di pasaran eksport, diikuti oleh Proton X50 dan Proton S70.
Proton Saga turut menjadi model paling terlaris bagi syarikat pada Januari, dengan jumlah keseluruan 4,597 unit. Proton Persona, sedan segmen-B, dan Proton Iriz, hatchback segmen-B, masing-masing menyumbang 1,221 dan 291 unit.
Sementara itu, Proton X50 mendahului jualan segmen dengan 1,436 unit, diikuti Proton X90 dengan 203 unit, dan Proton S70 dengan 1,143 unit. Ini bermakna model-model Proton ini memulakan tahun dengan kedudukan teratas dalam kategori SUV segmen-B, SUV segmen-D dan sedan segmen-C. Proton X70, model SUV ketiga, mengekalkan prestasi jualan yang kukuh dengan 576 unit terjual pada bulan Januari.
“Susulan aktiviti kempen jualan yang agresif oleh OEM di penghujung tahun 2024, industri automotif berdepan risiko permulaan yang perlahan pada tahun 2025. Dengan jumlah kumulatif lebih daripada 1.6 juta kenderaan baru yang dijual dalam dua tahun lepas, ramai pembeli berada dalam fasa pemilikan awal, jadi pasaran mungkin mengalami perubahan sementara dalam kitaran penggantian kenderaan baru. Selain itu, pelbagai model baru telah dilancarkan dalam tempoh setahun yang lalu. Oleh itu, penggiat industri perlu berusaha lebih gigih pada tahun 2025 bagi menarik perhatian pembeli dalam pasaran yang sudah tepu.
Proton memulakan tahun ini dengan peningkatan bahagian pasaran, hasil daripada permintaan yang lebih tinggi bagi model-model kami berbanding penurunan TIV. Jualan Proton e.MAS 7 menyumbang kepada angka angka tersebut, dan kami yakin jualan EV baru ini akan terus meningkatkan prestasi bulanan kami. Kami telah mengumumkan beberapa rancangan bagi model baru dan sedia ada untuk baki tahun 2025. Kami berharap ini akan membantu kami kembali ke landasan pertumbuhan jualan keseluruhan pada tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.