Piston.my

Proton Memulakan Pembinaan Kilang Pemasangan Kenderaan Elektrik Baru Di Tanjung Malim

Proton hari ini telah mengambil langkah seterusnya dalam mencapai matlamatnya untuk pengeluaran kenderaan elektrik (EV) tempatan berikutan upacara permulaan pembinaan kilang pemasangan baru di fasiliti berteknologi tinggi Tanjung Malim. Dengan pelaburan RM82 juta, fasa pertama  pelan pemasangan EV syarikat ini disasarkan siap pada akhir 2025, dengan kapasiti pengeluaran awal 20,000  unit setahun. Setelah siap, ia akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA) bermula dengan Proton e.MAS 7, model EV pertama jenama automotif Malaysia.  

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, serta ahli-ahli kerajaan  negeri dan exco. Proton diwakili oleh ahli lembaga pengarahnya, Ahmad Jauhari Yahya, yang membacakan  ucapan pembukaan bagi pihak pengerusi syarikat, dan Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, serta  Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton. Antara yang hadir termasuklah wakil daripada  kementerian-kementerian kerajaan, agensi-agensi persekutuan dan pihak berkuasa negeri tempatan.  

Fasiliti bertaraf dunia di AHTV bagi pengembangan model EV Proton 

Sasaran pengeluaran model EV Proton di Tanjung Malim selaras dengan komitmen syarikat untuk menyokong  rancangan perindustrian EV kerajaan Malaysia. Berpandukan dasar-dasar yang termaktub dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), Pelan Hala Tuju Mobiliti Rendah Karbon  (LCMB) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR). Sasaran adalah untuk pengeluaran model EV  tempatan bermula menjelang akhir tahun 2025, sejurus sebelum semua operasi pembuatan Proton  dipindahkan sepenuhnya di Tanjung Malim dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), menandakan  pencapaian penting bagi Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV).  

Bagi fasiliti baru yang dibina untuk pengeluaran NEV, pelbagai teknologi pembuatan pintar digunakan untuk  memastikan produk berkualiti tinggi dihasilkan dengan kecekapan maksimum serta impak minimum kepada alam  sekitar. Garis pengeluaran ini menggunakan automasi tahap tinggi dalam operasinya dengan memanfaatkan  robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet of Things (IoT) industry, dan teknologi yang berkaitan  dengan IR 4.0.  

Walaupun menggunakan operasi pengeluaran pintar, kilang baru Proton dijangka mewujudkan lebih 200  pekerjaan baru dalam Perindustrian EV untuk komuniti tempatan. Ini belum termasuk kesan kepada vendor AHTV  apabila mereka meningkatkan operasi untuk membekalkan bahagian-bahagian penting bagi pemasangan.  

Proton juga sudah mempunyai rancangan bagi fasa kedua kilang pengeluaran barunya sebagai persediaan  untuk penerimaan dan permintaan EV yang semakin meningkat daripada pelanggannya. Ini akan meningkatkan  kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun dan akan dilaksanakan berdasarkan permintaan daripada  pembeli di pasaran Malaysia dan luar negara.  

“Proton memulakan peralihannya untuk menjadi OEM yang menawarkan model ICE dan EV apabila kami  menubuhkan PRO-NET untuk menjual kenderaan pintar sebelum melancarkan Proton e.MAS 7. Dengan  pengalaman yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu dalam semua aspek kenderaan ini dan keperluan  pelanggan, jadi hari ini kami mengambil langkah seterusnya untuk merealisasikan impian kami menghasilkan dan  membangunkan model EV di Malaysia. Kenderaan yang dikeluarkan di kilang baru ini akan memenuhi keperluan  pelanggan di pasaran tempatan dan eksport, serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan pasaran EV.  

Setelah siap, pengeluaran di kilang baru ini akan tertumpu pada Proton e.MAS 7 serta tawaran NEV masa  hadapan apabila Proton mengembangkan rangkaian modelnya. Akhirnya, kami berharap kejayaan kami akan  mewujudkan ekosistem automotif yang moden dan berkemampuan untuk menggalakkan lebih banyak OEM  mempertimbangkan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,” kata Dr Li Chunrong, Ketua  Pegawai Eksekutif, Proton. 

Fuelled by cigarettes, coffee, the smell of petrol and 90's rock music

Artikel Berkaitan