Operasi Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA) kini berada di kedudukan yang lebih kukuh berikutan prestasi bersejarah yang dicatatkan Perodua pada tahun 2024.
“Berdasarkan jangkaan kami, Perodua telah membuat pembelian komponen automotif dengan nilai berpuluh billion Ringgit Malaysia daripada ahli kami sejak beberapa tahun lalu, menjadikannya pembelian tertinggi dalam sejarah,” kata Presiden P2SA, Musa Zahidin Tan Sri Ahmad Zaidee.
“Pembelian ini memainkan peranan penting dalam membolehkan ahli P2SA untuk membuat pelaburan semula dan mengembangkan operasi, menambah baik skala ekonomi dan meningkatkan kelebihan daya saing kami – terutamanya apabila kos meningkat disebabkan oleh faktor luaran,” katanya.
Berhubung pencapaian pengeluaran Perodua sebanyak 368,100 unit pada tahun 2024, Musa berkata kemampuan P2SA menyokong pencapaian berkenaan adalah disebabkan pendekatan komunikasi secara terbuka yang diamalkan oleh Pengilang Peralatan Asal (OEM) itu dengan P2SA.
“Sokongan yang diberikan kepada setiap ahli P2SA membolehkan kami mengendalikan jumlah tempahan yang tinggi. Selain itu, ianya juga dapat memastikan pembayaran berjalan lancar, arah tuju yang jelas serta perbincangan terbuka bagi sebarang perubahan yang membolehkan kami mencatatkan prestasi di luar jangkaan kami,” kata Musa.
Beliau berkata ahli-ahli P2SA juga telah mengambil inisiatif untuk membuat pelaburan semula ke atas operasi mereka termasuklah dengan melaksanakan automasi dan teknologi Internet Kebendaan (IOT).
“Contoh bagi pembaharuan ini adalah Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) oleh Ingress AOI Technologies Sdn Bhd – sistem kawalan komputer yang boleh mengenalpasti, menyusun dan memindahkan barangan dalam gudang bertingkat tinggi dengan operasi tenaga manusia dan peralatan sokongan yang minimum. Sistem ini telah meningkatkan keberkesanan ruang Ingress AOI Technologies sebanyak 71%,” kata Musa.
Beliau berkata ahli-ahli lain turut berhasrat untuk meningkatkan operasi mereka menerusi pelbagai cara, termasuklah dengan menggunakan teknologi Industri 4.0.
“Kami faham bahawa kami perlu terus menambah baik operasi untuk bersaing dengan pembekal lain di rantau ini, malah ada di antara kami sudah mula menembusi pasaran ASEAN dan Jepun,” kata Musa.
“Bagi ahli PDA, mendaftarkan majoriti daripada 358,102 kenderaan Perodua adalah cabaran dan juga satu kejayaan. Kerjasama daripada segi koordinasi dan logistik daripada pihak Perodua untuk menjayakan angka ini juga amat menakjubkan,” kata Presiden PDA, Cik Rabitah Dato’ Shamshudin.
“Kami ingin berterima kasih kepada Perodua, terutamanya di bawah pimpinan Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua) di atas kejayaannya membawa kami ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
“Selain daripada kecekapan dan profesinalisme, Perodua juga telah memberikan sokongan penuh kepada para pengedarnya untuk menambah baik operasi, seperti melaksanakan operasi tunggal (mono-operation), menawarkan sokongan dan galakan untuk menaik taraf operasi 3S yang terbukti berbaloi buat kebanyakan ahli kami,” jelas Rabitah.
Operasi tunggal merujuk kepada gabungan operasi jualan, perkhidmatan dan jualan alat ganti yang boleh menawarkan pengalaman pemotoran yang lebih lancar buat para pelanggan.
Tambah beliau, Perodua juga mengalu-alukan generasi baharu pengedar yang sedang bersedia untuk mengambil alih operasi perniagaan daripada ibu bapa mereka.
“Perodua berada di sini untuk tempoh yang lama dan syarikat itu telah melayan kami dengan adil sejak lebih 30 tahun lalu. Ahli kami akan terus memainkan peranannya dalam memberikan pengalaman Perodua yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Rabitah berkata PDA komited terhadap kejayaan berterusan Perodua sebagai jenama automotif paling popular di negara ini dan akan terus memfokuskan kepada kepuasan pelanggan dengan memahami keperluan dan membina pengalaman yang lebih baik dengan mereka.