UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dan menakrif semula landskap segmen kenderaan berprestasi tinggi dengan memperkenalkan tiga model paling dinanti-nantikan seluruh peminat kereta di Malaysia. Pelancaran model 2025 GR Yaris, GR Corolla, dan Corolla GR Sport, bersempena majlis penutup Toyota Gazoo Racing Musim Ke-7, bukan sahaja menjadi simbol inovasi, tetapi juga penanda aras baharu dalam komitmen Toyota dalam memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan buat rakyat Malaysia. Berpegang kepada legasi cemerlang Toyota Gazoo Racing dalam sukan permotoran serta kejuruteraan termaju yang telah terbukti, pengenalan model-model ini menjadi pemangkin keterujaan dan inspirasi dalam kalangan peminat automotif tempatan sejak penampilan di peringkat global pada 2007.
Ketiga-tiga model ini mempersembahkan prestasi unggul dan kejuruteraan terperinci Toyota Gazoo Racing, membawa semangat litar lumba terus ke jalan raya dan membolehkan pemandu merasai adrenalin serta kehebatan teknologi litar perlumbaan. Di sisi lain, Corolla GR Sport tampil dengan gaya sporty yang berani sambil mengekalkan aspek praktikaliti harian, menyerlahkan lagi keupayaan Toyota dalam menyatukan elemen estetika, prestasi, dan fungsi dengan sempurna untuk menawarkan pengalaman luar biasa kepada generasi pemandu moden. Melalui gabungan inovasi dan kepakaran ini, Toyota memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju dalam inovasi berprestasi tinggi, tambahan kepada pendekatan Multi-Pathway bagi memastikan semua mendapat manfaat terbaik.
GR Yaris 2025: Sentuhan Kejuruteraan Perlumbaan ke Jalan Raya
GR Yaris 2025 adalah bukti cemerlang kejuruteraan Toyota Gazoo Racing, sebuah kereta kompak yang menggabungkan prestasi litar rali dengan praktikaliti di jalan raya. Dipacu enjin pengecas turbo G16E-GTS 1.6-liter yang ikonik, nadi utama jentera ini mampu menghasilkan 300PS dan 400Nm tork, menjadikan setiap pemanduan penuh adrenalin. Dipadankan transmisi manual 6-kelajuan tradisional dan digabungkan dengan sistem GR-Four AWD yang diinspirasikan oleh perlumbaan rali serta legasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), ia ternyata memberikan kawalan maksimum kepada pemandu.
Setiap elemen GR Yaris direka dengan fokus mutlak kepada prestasi. Teknologi penyejukan canggih, seperti sub-radiator dan sistem semburan intercooler, memastikan enjin beroperasi secara optimum walaupun di bawah tekanan yang ekstrem. Kehebatan teknologi perlumbaan diterjemahkan ke dalam output enjin yang lebih tinggi, disokong oleh sistem suspensi yang dipertingkatkan untuk kawalan yang mantap dan keupayaan membelok yang agresif. Bahagian hadapan yang direka semula dengan Functional MATRIX Ver.2 memaksimumkan aliran udara dan penyejukan, sambil meningkatkan aspek aerodinamik secara menyeluruh, manakala bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan sistem ekzos, diffuser, dan pencahayaan baharu, menonjolkan postur lebar dan rendah yang menawan.
Menjengah ke dalam kabin, GR Yaris mencerminkan keutamaan kepada pengalaman pemandu, dengan paparan GR Full TFT 12.3 inci yang jelas dan kokpit ergonomik yang dikhususkan untuk prestasi. Kedudukan memandu yang lebih rendah dan butiran berinspirasi perlumbaan seperti tali pinggang keselamatan berwarna merah serta konsol sisi penumpang yang lebih besar lengkap dengan port USB, memberi kemudahan tambahan kepada semua. GR Yaris 2025 tersedia dalam empat pilihan warna menarik, termasuk warna baharu Precious Metal, bermula pada harga RM315,600.
GR Corolla 2025: Menghidupkan Semangat Sukan Permotoran di Jalan Raya
GR Corolla 2025 dikuasakan enjin G16E-GTS 1.6L-T pengecas turbo 3- silinder termaju yang menghambur kuasa 300PS dan tork 400Nm—mencipta penanda aras baharu dalam kategori hot hatch berprestasi tinggi. Gabungan sempurna antara kuasa, kecekapan, dan kejuruteraan kompak ini menonjolkan kehebatan teknologi moden Toyota. Dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan eksklusif, GR Corolla menjanjikan pengalaman kawalan pemanduan sepenuhnya, memberikan keseronokan maksimum kepada peminat automotif sejati.
Di sebalik kehebatannya ialah sistem GR-Four AWD, teknologi termaju yang diinspirasikan daripada perlumbaan rali. Sistem ini secara dinamik melaraskan pengagihan tork untuk mengoptimumkan cengkaman pada pelbagai permukaan jalan dan disesuaikan dengan gaya pemanduan. Sama ada membelok dengan ketepatan luar biasa di selekoh tajam atau mengekalkan kestabilan sempurna di laluan lurus, sistem ini menawarkan kawalan tanpa kompromi. Tambahan pula, GR Corolla dilengkapi dengan suspensi yang dipertingkatkan, termasuk spring pemulihan dan optimum, memberikan keseimbangan sempurna antara ketangkasan serta kestabilan. Model ini bukan sekadar sebuah jentera; ia adalah simbol keunggulan kejuruteraan dan keterujaan pemanduan yang tiada tandingan.
Keunggulan aerodinamik menjadi nadi reka bentuk luar GR Corolla 2025, memancarkan aura prestasi dan kecanggihan. Dengan postur rendah dan lebar yang menekankan kestabilan, corong masuk udara yang diperbesar, serta bampar depan yang direka dengan teliti, setiap elemen yang ditampilkan mengoptimumkan aliran udara untuk prestasi maksimum. Lengkungan roda yang lebih lebar menambah lagi aspek lebih berani pada rupa keseluruhan, manakala sistem tiga ekzos eksklusif GR melengkapkan daya tarikan visual yang memukau. Penampilan estetik berinspirasikan rali ini disempurnakan dengan ruang dalaman serba moden, termasuk tempat duduk yang ditala khas untuk pemanduan rali, trim gun-metallic yang elegan, serta paparan digital canggih yang memaparkan data prestasi masa nyata seperti pembahagian tork AWD dan tekanan turbo.
Ditawarkan dalam pilihan warna yang memikat seperti Platinum White Pearl Mica, Precious Black, Precious Metal, dan Emotional Red 2, GR Corolla 2025 adalah manifestasi komitmen Toyota terhadap reka bentuk progresif dan inovasi kejuruteraan. Dengan harga bermula pada RM367,000, hot hatch berprestasi tinggi ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang melangkaui batas, membawa prestasi dan gaya ke tahap baharu.
Corolla GR Sport 2025: Gabungan Mantap Elemen Sporty dan Praktikaliti Harian
Bagi pemandu yang mahukan gabungan reka bentuk sporty dan praktikaliti harian, Corolla GR Sport 2025 adalah pilihan yang sempurna. Model ini menggabungkan luaran dinamik serta kebolehpercayaan yang menjadi ciri ikonik Toyota. Dilengkapi enjin 1.8-liter yang digandingkan dengan transmisi Sport Sequential Shiftmatic CVT 10-kelajuan, jentera ini menawarkan pecutan lancar, peralihan gear yang lebih pantas, dan mod manual interaktif untuk pengalaman pemanduan yang lebih bertenaga.
Dari segi reka bentuk, Corolla GR Sport 2025 memancarkan daya tarikan unik melalui skema warna dua tona yang memikat, termasuk bumbung hitam, gril khas GR Sport dengan corak mesh heksagon, serta aksen aerodinamik pada bampar dan spoiler belakang. Roda aloi 18-inci GR Sport dengan corak multi-spoke baharu menyuntik elemen atletik yang menyerlahkan postur gagahnya. Digabungkan dengan siluet anggun, model ini memastikan ia menarik perhatian ketika menyusuri jalan raya.
Bahagian dalaman Corolla GR Sport 2025 memancarkan gabungan sempurna antara kemewahan dan tahap sporty, menjadikannya ruang yang mengasyikkan untuk pemandu dan penumpang. Tempat duduk balutan suede dan kulit premium dengan jahitan merah memberikan keselesaan maksimum sambil menawarkan sokongan sisi yang kukuh untuk pemanduan dinamik. Stereng berjenama GR dan trim logam perak smoke menyerlahkan karakter sporty model ini, melengkapkan aspek estetika yang moden dan eksklusif. Sistem audio berdefinisi tinggi 10-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto memastikan ketersambungan lancar, manakala ciri-ciri praktikal tambahan seperti pengecasan tanpa wayar, kawalan suhu dwi-zon, dan corong pendingin hawa belakang menjadikan setiap perjalanan lebih selesa untuk semua penumpang.
Toyota tetap teguh dalam mengutamakan aspek keselamatan, melengkapkan model ini dengan pakej Toyota Safety Sense (TSS) sebagai standard. Ciri-ciri seperti sistem pra-perlanggaran, bantuan jejak lorong, dan kawalan jelajah dinamik memberikan perlindungan maksimum kepada setiap perjalanan. Paparan pandangan panorama 3D dan amaran lintasan trafik belakang pula menambah lapisan keselamatan dalam persekitaran bandar yang sibuk. Corolla GR Sport 2025 yang ditawarkan pada harga RM149,800, tersedia dalam pilihan warna dua tona yang menarik, termasuk Platinum White Pearl Mica, Red Mica Metallic, dan Attitude Black Mica dengan bumbung hitam yang menjadikannya bukan sahaja sebuah kereta yang selamat tetapi juga simbol gaya dan prestasi.