Piston.my

BMW Group Malaysia Mengukuhkan Komitmen Terhadap Mobiliti Masa Hadapan

Sebagai sebahagian daripada visi global pengeluar kenderaan premium ini dalam menawarkan teknologi terkini dengan pelbagai sistem rangkaian kuasa, BMW Group mengukuhkan Malaysia sebagai pasaran utama dalam memacu Mobiliti Masa Hadapan dan membolehkan pelanggan memilih Pengalaman Pemilikan Premium yang bersesuaian dengan keperluan mereka. 

Dengan lebih daripada 8,700 keluaran kenderaan untuk jenama BMW dan Mini sehingga suku ketiga 2024, termasuk lebih 1,600 model elektrik penuh yang merangkumi lebih 19 peratus daripada jumlah pengeluaran, BMW Group Malaysia terus mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan elektrik premium terkemuka di negara ini.

Faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian tersebut adalah komitmen BMW Group Malaysia terhadap Keterbukaan Teknologi, iaitu pendekatan yang mengutamakan penawaran enjin pembakaran dalaman, kenderaan hibrid plug-in dan kenderaan elektrik agar pelanggan bebas memilih teknologi yang bersesuaian dengan gaya hidup mereka, justeru memperlihatkan dedikasi syarikat dalam memberikan Sheer Driving Pleasure untuk semua jenis kenderaan.

Pada 2024, BMW Group Malaysia memperkenalkan beberapa kenderaan baharu dalam segmen premium termasuk BMW iX2, BMW i5 M60, varian BMW 520i, serta rangkaian baharu Mini Family, sekaligus menguatkan komitmen pengeluar kenderaan premium ini terhadap pelbagai teknologi pemanduan dan pendekatan inovatif yang berpandangan jauh.

Dalam usaha menggalakkan lagi penerimaan progresif terhadap kenderaan elektrik, BMW Group Malaysia telah menyediakan lebih 2,020 kemudahan pengecas untuk pelanggan, melalui kerjasama strategik dengan pelbagai penyedia pengecas kenderaan elektrik di Malaysia. Lebih daripada 100 kemudahan pengecas BMW i dan Mini juga disediakan di kebanyakan pengedar sah, serta lokasi kerjasama di seluruh negara, dengan lebih banyak lagi akan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan infrastruktur strategik untuk masa hadapan.

Tambahan lagi, penglibatan pengeluar kenderaaan premium ini dengan membawa portfolio kenderaan elektrik mereka yang luas ke acara berprofil tinggi dan jalinan kolaborasi seperti bersama Malaysia Airlines, Konvensyen Usahawan Cina Sedunia (WCEC), serta Kejohanan Maybank 2024 telah membuka peluang buat syarikat ini mengetengahkan potensi mobiliti elektrik premium dalam pelbagai industri utama yang berpengaruh.

Jean-Philippe Parain, Senior Vice President Sales Region in Asia-Pacific, Eastern Europe, Middle East and Africa from the BMW Group (left), Benjamin Nagel, Managing Director, BMW Group Malaysia

Memacu masa hadapan berasaskan inovasi

Di peringkat global, BMW Group telah mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa dalam segmen kenderaan elektriknya meskipun dalam pasaran yang mencabar. Antara Januari hingga September 2024, syarikat BMW Group merekodkan peningkatan 19.1 peratus dalam jualan kenderaan elektrik penuh (BEV), dengan lebih daripada 300,000 unit dikeluarkan buat pelanggan di seluruh dunia.

Di peringkat yang lebih luas, prestasi dan pelaburan BMW Group Malaysia menerusi kerjasama utama mereka mencerminkan pendirian Kumpulan tersebut dalam mengemudi landskap pasaran yang kompleks dengan pendekatan jangka masa panjang dan keterbukaan teknologi, demi memastikan kestabilan tanpa merisikokan perubahan jangka pendek yang drastik.

Jean-Philippe Parain, Naib Presiden Kanan Jualan Wilayah Asia-Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika dari BMW Group, berkata, “Di BMW, kami dipandu oleh legasi Dinamik Luar Biasa, Teknologi Inovatif, Rekaan Unggul, dan Keselesaan Pemanduan Terhebat. Nilai-nilai ini membentuk jiwa jenama BMW (The Soul of BMW), dan mendefinisikan kelebihan yang akan dinikmati oleh pelanggan daripada setiap BMW yang kami hasilkan. Dalam peralihan ke mobiliti masa hadapan, kami masih berpegang teguh pada nilai-nilai tersebut dengan membawakan warisan, semangat, dan pacuan inovasi ke era elektrifikasi.”

Menekankan fokus BMW Group terhadap kemewahan, Parain turut berkongsi, “Komitmen kami terhadap kemewahan, yang dipamerkan melalui model seperti BMW 7 Series dan BMW X7, merupakan bukti terhadap keyakinan, eksklusif, dan keunggulan selama lebih 100 tahun. Legasi ketahanan dan kecemerlangan ini telah membantu kami mengharungi masa-masa mencabar selain mengukuhkan komitmen BMW dalam memberikan pengalaman premium yang berjalan seiring dengan komitmen terhadap inovasi mampan. Justeru itu, kami berbangga menyaksikan legasi ini turut diterapkan di Malaysia.”

Parain juga berkongsi akan peranan strategik Malaysia dalam usaha BMW Group memacu inisiatif mampan di rantau ini. Beliau berkata, “Setiap kemajuan yang  kami capai disokong oleh ekosistem kolaboratif di Malaysia, dan kami akan terus menjalin kerjasama serta membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk mempercepatkan penerimaan penyelesaian mobiliti masa hadapan, di samping menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam transformasi automotif di Asia Tenggara.” 

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan