Piston.my

Proton Dinamakan Syarikat Automotif Terbaik Untuk Pertama Kali Di Anugerah M100

Proton telah diiktiraf sebagai pemenang sektor dalam industri serta majikan  yang bergerak paling pantas buat kali pertama oleh Anugerah 100 Majikan Siswazah Terkemuka Malaysia 2024  (M100). Kemenangan berganda itu menunjukkan graduan lebih mengutamakan jenama automotif nasional  berbanding jenama lain dan melihatnya sebagai pilihan utama mereka untuk perkerjaan dalam sektor tersebut. 

Terutamanya, ini adalah kali pertama Proton mengalahkan dua OEM lain dan merangkul tempat teratas dalam  kategori industri automotif pada edisi ke-17 anugerah tersebut. Anugerah Majikan Terpantas Bergerak juga telah  dianugerahkan kepada syarikat itu setelah mencatatkan kenaikan tempat terbanyak dalam kedudukan M100, iaitu  dari kedudukan ke-86 pada 2023 ke kedudukan ke-44 tahun ini.  

Salah satu sebab utama kejayaan Proton adalah usahanya dalam membangunkan bakat baru. Program  Proton Young Talents (PYT) yang dilancarkan pada 2018 bertujuan untuk mengupah graduan muda yang  berpotensi dan membangunkan generasi profesional dan pemimpin yang kemahiran tinggi bagi memacu inovasi  dan pertumbuhan di dalam Proton. Program ini telah memainkan peranan penting dalam membentuk tenaga  kerja syarikat, dan kejayaannya dicerminkan dalam banyak anugerah yang diperoleh tahun ini. Kohort PYT  semasa terdiri daripada 210 individu, di mana 72% daripadanya mempunyai latar belakang teknikal, manakala  28% berasal dari bidang bukan teknikal. Sehingga kini, 259 graduan PYT telah diambil bekerja sejak tujuh tahun  yang lalu, termasuk 110 PYT tahun ini, mengekalkan kadar kekal berkhidmat luar biasa sebanyak 81%. 

Dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan rakan industri seperti TalentCorp, malam  anugerah M100, yang diadakan pada 7 November di Four Seasons Kuala Lumpur, meraikan majikan graduan terbaik dalam 18 sektor berbeza,termasuk perakaunan, perbankan, perundingan, peruncitan dan hospitaliti. 

Keputusan untuk anugerah itu diputuskan melalui kajian tahunan tentang penggajian graduan oleh Graduate-to Industry (GTI) Malaysia, dengan 44,924 undian pelajar dikumpulkan di seluruh Malaysia daripada 220 acara  kampus di 169 univerisiti, termasuk Universiti Antarabangsa Albukhary. Kajian tahun ini dijalankan dari Januari  hingga September dan menerima undian daripada kumpulan yang lebih besar, iaitu meningkat daripada 37,380 undian tahun lepas. Para pelajar diminta untuk menyenaraikan majikan yang mereka berminat untuk memohon  selepas tamat pengajian dan mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi proses pencarian kerja serta  pemilihan majikan.  

Menurut kajian tersebut, pengupahan graduan disusun mengikut kategori berikut: kepimpinan, pembangunan  peribadi, gaji dan ganjaran, keseimbangan kerja-hidup, dan jaminan pekerjaan. Sebanyak 85.7% daripada responden menyuarakan kebimbangan mengenai kos sara hidup di bandar-bandar Malaysia dengan gaji graduan.  Responden menjangkakan gaji median mereka untuk jawatan peringkat graduan akan berada dalam lingkungan RM3,000 hingga RM4,000 sebulan pada tahun 2024.  

Pengarah Urusan GTI Media, Issac Hee berkata, “Anugerah ini menunjukkan keberkesanan usaha keras yang  dilakukan oleh Proton untuk mentransformasikan budaya pengupahannya dan membangunkan program  pembangunan bakat yang menarik bagi graduan. Ini sangat mengujakan kerana kita sedang menantikan  pelancaran kereta EV pertama yan dihasilkan secara domestik di negara ini. Saya juga percaya ramai graduan  yang mengundi Proton sebagai majikan pilihan mereka turut teruja untuk menjadi sebahagian daripada detik  bersejarah ini.” 

“Di Proton, kami percaya bahawa tempat kerja yang berkembang maju dibina di atas budaya yang pelbagai  dan inklusif yang memperkasakan bakat muda untuk berkembang, berinovasi dan memimpin. Pengiktirafan kami  sebagai pilihan utama graduan adalah bukti komitmen kami untuk memupuk persekitaran di mana idea-idea segar  dan nilai-nilai yang kukuh bersatu untuk memacu kejayaan dalam sektor automotif,” kata Amran bin Mohd Tomin,  Naib Presiden Bahagian Sumber Manusia, Proton. 

Fuelled by cigarettes, coffee and 90's rock music

Artikel Berkaitan