Audi, yang menjadi jenama automotif premium pertama di China sejak 1988, terus memperkukuh kedudukannya di negara tersebut melalui usaha sama terbarunya dengan SAIC. Kerjasama ini bakal menyaksikan pelancaran tiga model elektrik baharu yang dijadualkan bermula pada pertengahan 2025, dengan fokus kepada pasaran premium China yang muda, berteknologi tinggi, dan mahukan inovasi. Model-model ini berpegang pada prinsip “Vorsprung durch Technik” atau “Keunggulan Melalui Teknologi,” yang menonjolkan keupayaan Audi dalam menawarkan pengalaman pemanduan pintar dan berhubung sepenuhnya.
Di barisan hadapan inisiatif ini ialah konsep AUDI E, sebuah model Sportback yang dibangunkan menggunakan Platform Digitized Termaju khusus untuk China. Dengan ukuran panjang 4,870mm, model konsep yang anggun ini menggunakan sistem dwi-motor berkuasa tinggi, yang mampu menghasilkan 764hp dan 800 Nm tork. Ini membolehkan kereta mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat. Baterinya yang berkapasiti 100 kWh menawarkan jarak sejauh 700 km, manakala seni bina 800-volt membolehkan pengecasan pantas — pengecasan selama 10 minit boleh menambah lebih 370 km jarak perjalanan.
Konsep E ini tampil dengan reka bentuk minimalistik dan berfungsi , termasuk penggayaan hadapan dan belakang yang unik, lengkungan roda licin, dan grafik pencahayaan yang menyeluruh. Di dalam, kabinnya mengutamakan keselesaan dan teknologi terkini dengan skrin sentuh resolusi 4K yang membentang dari tiang ke tiang serta kawalan sensitif sentuhan. Dari segi inovasi digital, model ini menampilkan OS AUDI bersama ekosistem aplikasi dan hiburan yang diperibadikan melalui pengecaman wajah. Ia turut dilengkapi dengan AUDI Assistant, avatar AI yang membolehkan interaksi suara intuitif.
Dengan usaha sama ini, Audi dan SAIC menyesuaikan standard premium global dengan perspektif tempatan China, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan elektrik (EV) premium di pasaran automotif terbesar di dunia.