Honda Malaysia hari ini mengumumkan langkah proaktif untuk mengemas kini kira-kira 36,000 unit kenderaan Civic, Civic Type R, dan CR-V.
Langkah ini adalah untuk mengemaskini kotak gear Electric Power Steering (EPS) kerana worm wheel kotak gear EPS yang mungkin membengkak, mengurangkan ketebalan filem gris, dan berpotensi menyebabkan bunyi stereng yang tidak normal atau stereng menjadi melekit. Model yang terlibat ialah:
- Civic (Model Tahun 2022-2024)
- Civic Type R (Model Tahun 2023-2024)
- CR-V (Model Tahun 2024)
Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang mungkin dihadapi pelanggan yang terjejas dan menegaskan bahawa model pengeluaran dan jualan semasa lain tidak terlibat dalam kemas kini ini. Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pelanggan, yang menjadi keutamaan Honda Malaysia.
Semua pelanggan yang terlibat akan menerima surat pemberitahuan dengan maklumat lanjut mengenai kemas kini produk. Honda Malaysia menggesa mereka untuk menghubungi pengedar sah Honda bagi membuat janji temu untuk pemeriksaan dan pembaikan kenderaan jika diperlukan.
Honda Malaysia akan menanggung kos penuh bagi pemeriksaan, pembaikan, atau penggantian komponen yang terlibat. Stok gantian akan tersedia secara berperingkat mulai Disember 2024.
Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat lanjut atau menyemak status kenderaan mereka bagi kemas kini ini dengan menghubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020, melayari laman web productrecall.honda.com.my, atau berhubung dengan mana-mana pengedar sah Honda.